AMPANG - Tiga individu termasuk seorang wanita yang disyaki pengedar dadah ditahan di Pandan Perdana di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menahan sebuah kereta jenis Nissan Sentra yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 38 tahun.
"Hasil pemeriksaan kita menjumpai sebilah parang, sepucuk pistol berserta kelopak berisi 10 butir peluru dan 460 biji pil disyaki dadah ecstasy," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada Selasa.
Mohamad Farouk berkata, hasil soal siasat, seorang lelaki dan wanita berusia 46 dan 51 tahun ditahan di sebuah rumah di kawasan tersebut pada hari yang sama.
"Kita turut merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat 3.6 gram dan 10 biji pil ecstasy, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,000," katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati salah seorang suspek mengaku senjata api itu adalah miliknya dan digunakan bagi tujuan perlindungan diri.
"Senjata api ini dipercayai dibeli di negara jiran dengan harga RM17,000 sejak awal 2019," katanya.
Menurutnya, semakan rekod mendapati dua lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes dadah.
"Ujian air kencing ke atas dua suspek itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Dalam kes berasingan, Mohamad Farouk memaklumkan pihaknya memberkas seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan di Jalan Cheras Hartamas di sini pada Khamis lalu.
"Modus operandi suspek berusia 24 itu adalah dia bergerak secara bersendirian dan menyasarkan kenderaan model lama yang diparkir di tepi jalan.
"Kenderaan itu kemudian dileraikan dan dijual sebagai alat ganti, usaha mengesan rakan sejenayahnya sebagai pembeli masih lagi diteruskan," katanya.
Mohamad Farouk berkata, pihaknya merampas dua van, sebuah kereta Proton Aeroback dan sebuah lori yang dilaporkan hilang sekitar Lembah Klang.
"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai 22 rekod berkaitan kes dadah dan jenayah," katanya.