Annuar tidak dipecat, tapi diganti, kata Ahmad

Iklan
Ahmad

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan Tan Sri Annuar Musa tidak dipecat dan beliau menggantikan tempat yang disandang oleh Ahli Parlimen Ketereh itu.

"Beliau (Annuar) tidak dipecat tetapi beliau diganti,” katanya pada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurut Ahmad, kebiasaannya, Setiausaha Agung BN akan disandang oleh Setiausaha Agung UMNO dan perkara itu mungkin menjadi sebab beliau digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung BN.

"Saya kira itu antara sebabnya (Annuar diganti). Saya diberikan tugas Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN) dan saya ingin menegaskan saya menggantikan tugas beliau,” katanya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: BN lantik Ahmad Maslan Setiausaha Agung BN, ganti Annuar Musa

'Kalau nak pecat saya silakan...'

Iklan

Annuar enggan komen, dalam tempoh bertenang

Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di hadapan ketua-ketua bahagian UMNO turut mengucapkan terima kasih atas khidmat yang diberikan Annuar sebelum ini sebagai Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Agung UMNO.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Annuar pro kepada parti Bersatu, Ahmad enggan mengulas mengenai perkara berkenaan.

"Saya tidak mahu mengulas apa-apa mengenai perkara itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) akan diadakan secepat mungkin kerana negara memerlukan kerajaan stabil untuk memulihkan ekonomi.

"Kerajaan Malaysia tidak stabil dan rapuh. Seperti kerajaan Johor yang ada satu majoriti macam juga kerajaan Malaysia ada satu majoriti.

"Sebelum ini ada 113 (kerusi), ahli Perlimen Gerik meninggal dunia manakala ahli Parlimen Gua Musang tidak sokong, kini tinggal 111 (kerusi). Bagaimana hendak memerintah kerajaan yang tidak mempunyai majoriti dan seperti ini,” katanya.

Beliau berkeyakinan Covid-19 dapat dikurangkan kerana vaksin akan sampai dan ia perlu dipercepatkan.

"Covid-19 bukan lagi alasan menangguhkan pilihan raya menstabilkan kerajaan sedia ada. Kita berharap dengan adanya 111 (kerusi) yang dicampur 50 kerusi tambahan akan menjadi jumlah yang cukup mantap untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, UMNO tidak mahu berkerjasama dengan DAP dan berharap kerjasama dengan Pas akan dimantapkan.

"Kita ingin mengukuhkan hubungan dengan Pas dan MN. Kita juga sudah berunding kerusi dengan Pas,” katanya.

Beliau berkata, UMNO tidak ada perbincangan dan perundingan dengan parti lain tetapi yang diputuskan pada Selasa (hari ini), parti itu tidak akan berkerjasama dengan DAP.

"Mengenai parti lain, kita tunggu dan lihat kemudian, keputusan malam esok adalah penting,” katanya.

Pada Selasa, Ahmad Zahid mengumumkan Ahmad sebagai Setiausaha Agung BN dan pelantikan itu berkuat kuasa serta merta.

Menurut portal berita tempatan, Ahmad Zahid mengumumkan keputusan tersebut dalam ucapan semasa perjumpaan khas dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara di PWTC pada Selasa.

Annuar pada Ahad dilapor berkata, beliau sanggup dipecat asalkan dapat mempertahankan 'muafakat' parti Melayu dan Islam dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).