JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dan menteri kabinetnya akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 13 Januari ini, bagi meningkatkan keyakinan rakyat republik itu terhadap vaksin berkenaan.
Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin dalam satu kenyataan berkata, Jokowi akan menjadi individu yang pertama diberikan suntikan vaksin berkenaan.
"Penyuntikan pertama akan dilakukan pada Rabu di Jakarta, iaitu Bapak Presiden dan menteri kabinet.
"Vaksinasi ini diharapkan dilanjutkan di daerah pada hari berikutnya secara serentak, yang diutamakan bagi tenaga kesihatan, pemimpin setempat dan seterusnya," katanya.
Pada 16 Disember lalu, Jokowi mengumumkan vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat republik berkenaan.
Sebelum itu pada 6 Disember 2020, Indonesia menerima sebanyak 1.2 juta dos vaksin Covid-19 dari China, manakala 1.8 juta dos lagi vaksin diterima pada 31 Disember lalu.
Budi Gunadi dalam satu kenyataan sebelum ini juga berkata, selain vaksin Sinovac dari China, pemerintah Indonesia juga akan membeli 426 juta lagi dos vaksin dari Astrazeneca, Pfizer, dan Novavax.
Sementara itu, menurut data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia pada Selasa, jangkitan Covid-19 di Indonesia kini meningkat kepada 779,548 kes, dengan tambahan 7,445 kes baharu dalam tempoh 24 jam.
Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 198 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan di republik itu kini 23,109 orang.