KOTA TINGGI - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu masalah saliran dan banjir termenung di pusat bandar Kota Tinggi diselesaikan segera bagi membolehkan aktiviti ekonomi yang terjejas akibat banjir sejak Sabtu lalu kembali beroperasi.
Peringatan itu disampaikan Muhyiddin kepada Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika perdana menteri melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana pada Selasa.
Halimah yang ditemui pemberita selepas lawatan itu berkata, perdana menteri menyuarakan demikian kerana beliau tidak mahu masalah banjir termenung yang pernah melanda pusat bandar Kota Tinggi pada 2006/2007 berulang, sehingga menyebabkan aktiviti perniagaan di bandar itu terjejas lebih sebulan.
"Perdana Menteri telah bagi peringatan, air ini (banjir termenung) kita kena selesaikan segera, tidak boleh tunggu. Tumpuan perlu diberikan, tidak kiralah sama ada hendak pam (sedut) atau apa, yang penting, supaya aktiviti ekonomi dapat dimulakan secepat mungkin.
"Ketika banjir besar 2006/2007, Kota Tinggi ini lumpuh... kedai-kedai di dalam bandar tidak dapat beroperasi,” katanya.
Sementara itu, Halimah berkata, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah dalam taklimatnya kepada Muhyiddin ada mengemukakan beberapa cadangan bagi menambah baik pusat pemindahan sementara (PPS) terutamanya tandas di bangunan sekolah dan menaik taraf sistem perparitan di dalam bandar.
"Saya yakin Perdana Menteri akan beri pertimbangan sewajarnya dalam hal ini. Kalau kita perhatikan Kota Tinggi ini, banjirnya bukan sahaja di luar bandar tetapi di dalam bandar. Air sungai kita dapati surut, namun, kawasan bandar masih mengalami banjir termenung,” katanya.
Selain SK Laksamana, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut melawat PPS di Kolej Vokasional Kota Tinggi.
Setakat jam 4 petang tadi, Kota Tinggi masih kekal sebagai daerah yang mempunyai mangsa banjir tertinggi di Johor dengan 2,372 orang. - Bernama