KUALA LUMPUR - Pihak polis dan bomba mengambil masa lebih satu jam untuk memujuk seorang lelaki yang dilihat cuba terjun dari tingkat 16 di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada Selasa.
Lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai dalam keadaan tertekan itu dilihat berdiri di atas kerusi di ruang balkoni rumahnya.
Perlakuan lelaki itu disedari oleh jirannya yang bertindak menghubungi pihak berkuasa.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12 tengah hari.
Menurut kenyataan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Wangsa Maju diketuai Komander Operasi Kanan, M Letchumanan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi mendapati mangsa berada di balkoni. Anggota operasi bersama pihak polis bertindak memujuk mangsa.
"Pada jam 1.30 petang, mangsa berjaya dipujuk dengan bantuan unit high rise rescue team (HRRT),” katanya.
Katanya, kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.