'Tinggalkan senjata api di rumah'

Iklan
Kumpulan penyokong Trump ketika berhimpun di Freedom Plaza di Washington pada bulan lalu untuk membantah keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020. - Foto: AFP

WASHINGTON - Suhu politik Amerika Syarikat (AS) bertambah panas selepas kekecohan dijangka tercetus ketika Kongres bersidang pada Rabu untuk mengesahkan kemenangan bakal Presiden, Joe Biden selepas pendahulunya, Donald Trump masih enggan akur dengan kekalahannya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pegawai perbandaran di Washington pada Isnin memberi amaran tegas kepada penyokong Trump supaya tidak membawa senjata api ketika menyertai protes untuk membantah keputusan Kongres selain mengerahkan ratusan Pengawal Negara untuk mengawal keselamatan.

Iklan
Iklan

"Kami menerima maklumat ada beberapa individu mahu membawa senjata api ketika demonstrasi tersebut dan kami semestinya tidak akan bertolak-ansur dengan perkara itu,” kata Ketua Polis, Roberst Contee sambil menambah mana-mana individu yang sengaja mencetuskan keganasan akan ditahan serta-merta.

Sementara itu, Pengawal Negara mengesahkan lebih 300 anggota mereka dikerah untuk membantu pasukan keselamatan lain bagi menghadapi sebarang insiden tidak diingini.

Iklan

Difahamkan, Washington adalah antara daerah di AS yang menguatkuasakan undang-undang senjata api yang tegas termasuk melarang pemilikan senjata tanpa lesen.

Ribuan penyokong Trump termasuk kumpulan nasionalis berhaluan kanan yang membawa senjata api setiap kali menyertai tunjuk perasaan dijangka berhimpun di Washington untuk membantah keputusan yang menyaksikan kekalahan bilionair hartanah terbabit pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 pada 3 November lalu.

Iklan

Menurut Contee, jumlah penunjuk perasaan pro-Trump itu dijangka lebih ramai berbanding kumpulan pada November dan Disember yang telah mencetuskan insiden pertempuran.

Dalam perkembangan berkaitan, Biden dan Trump rancak berkempen saat akhir sempena pemilihan sengit Senat yang akan menentukan parti yang akan menguasai politik AS.

Pemilihan pusingan kedua pada Selasa itu akan menyaksikan persaingan antara calon parti Republikan, Senator Kelly Loeffler dan David Perdue yang akan menentang Raphael Warnock dan Jon Ossoff daripada parti Demokrat.

Bakal Presiden ke-46 AS berusia 78 tahun itu menerusi ucapan beliau menzahirkan harapan agar calon Demokrat menang dalam pemilihan tersebut bagi membolehkan parti terbabit menguasai Dewan Perwakilan dan Senat AS apabila beliau mengambil alih pentadbiran Rumah Putih pada 20 Januari depan.

Trump, 74, ketika berkempen di bandar Dalton yang merupakan kubu kuat parti itu di Georgia juga menyuarakan hasrat sama untuk memastikan Republikan sekali lagi memonopoli Senat bagi membolehkan parti terbabit menghalang agenda perundangan Biden.

Sehingga kini, bilionair hartanah terbabit tidak dapat menerima kekalahannya menegaskan beliau akan terus memegang tampuk pemerintahan.

"Demokrat tidak akan merampas Rumah Putih. Kita akan berjuang habis-habisan,” katanya sambil disambut sorakan para penyokongnya yang melaungkan ‘Berjuang untuk Trump’.

Trump yang akan tamat penggal pemerintahannya pada 20 Januari depan turut memberi tekanan kepada Naib Presiden, Mike Pence yang akan menerima keputusan Undi Elektoral di Kongres supaya bertindak bagi pihaknya untuk membatalkan kemenangan Biden yang meraih 306 berbanding 232 undi diraih Presiden ke-45 AS itu.

Pada Isnin, Setiausaha Negeri Georgia, Brad Raffensperger mendedahkan Trump dan beberapa anggota Republikan mendesak beliau supaya membatalkan keputusan pilihan raya di negeri selatan terbabit.

"Beliau memaksa kami untuk mencari 11,780 undi bagi memastikan Republikan menang di Georgia yang telah bertukar tangan kepada Demokrat,” katanya ketika wawancara bersama program Good Morning America yang disiarkan ABC.

Susulan desakan yang semakin meningkat, dua anggota Demokrat di Kongres telah meminta Pengarah Biro Penyiasatan Pusat (FBI), Christopher Wray menjalankan siasatan ke atas perkara tersebut.

"Kami percaya Trump terlibat dengan konspirasi untuk melakukan jenayah pilihan raya,” kata Ted Lieu dan Kathleen Rice dalam satu kenyataan bersama yang tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Jabatan Kehakiman. - Agensi