RIYADH - Negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) perlu menyatukan usaha mereka untuk memajukan rantau Arab dan berdepan cabaran di sekeliling mereka.
Kenyataan itu dikeluarkan Putera Mahkota, Mohammed Salman (MBS) ketika ucapan pembukaan Sidang Kemuncak GCC ke-41 di Al-Ula pada Selasa.
"Program nuklear dan misil balistik dijalankan rejim Iran serta aktiviti didalangi proksi mereka menjadi ancaman terbesar kepada rantau ini. Pemimpin GCC perlu menggesa komuniti antarabangsa supaya bekerjasama untuk menghentikan program yang menjejaskan keselamatan rantau Arab dan dunia," tegasnya.
Baginda turut menzahirkan kesedihan atas 'kehilangan' dua pemimpin yang memainkan peranan penting menjadi perantara kepada rundingan antara negara anggota, bekas Emir Kuwait, Allahyarham Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah dan bekas pemerintah Oman, Allahyarham Sultan Qaboos.
Menurutnya lagi, kesemua negara anggota GCC juga telah menandatangani dua dokumen digelar sebagai Deklarasi Al-Ula yang dinamakan sempena nama wilayah di Saudi yang menjadi tuan rumah acara tahunan tersebut.
"Deklarasi Al-Ula menekankan solidariti dan kestabilan di negara Teluk, Arab dan negara Islam serta mengukuhkan ikatan persaudaraan dan persahabatan antara negara dan rakyat kita dengan cara memenuhi aspirasi dan harapan mereka," tambahnya.
Difahamkan, Deklarasi Al-Ula itu juga bertujuan untuk menamatkan embargo selama tiga tahun yang dikenakan ke atas Qatar.
Pada Isnin, Menteri Luar Kuwait memaklumkan Saudi mencapai persetujuan dengan Qatar untuk menamatkan sengketa yang turut tercetus bersama beberapa negara Teluk lain.
"Satu perjanjian telah dicapai berhubung pembukaan sempadan termasuk ruang udara, laluan darat dan laut antara Riyadh dan Doha,” kata Ahmad Nasser al-Sabah yang disiarkan Kuwait TV menjelang Sidang Kemuncak GCC di Riyadh.
Sementara itu, media tempatan melaporkan pesawat membawa Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al-Thani untuk menghadiri acara tersebut telah tiba di Al-Ula barat laut Riyadh dan ketibaan beliau disambut mesra MBS.
Perjanjian tersebut dijangka menamatkan krisis antara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir yang turut memutuskan hubungan diplomatik serta perdagangan dengan Qatar pada pertengahan 2017 sebagai tindakan memboikot negara terbabit yang didakwa menyokong keganasan. - AFP