SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan tidak ada ‘scam poligami’ dan tidak ada jalan pintas untuk berpoligami di Perlis seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.
"Poligami adalah perkara yang halal dan kita memudahkannya. Tidak timbul jalan pintas untuk (berpoligami).
"Mereka yang ingin berpoligami perlu mencukupi rukun dan syarat nikah yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Asri berkata, jika mencukupi syarat dan kesemua rukun nikah yang lengkap, maka perkahwinan itu sah.
Ditanya mengenai dakwaan suami yang ingin berpoligami memilih Perlis untuk berkahwin, beliau mengakui perkara berkenaan boleh berlaku di mana-mana sahaja.
"Masalah pasangan dari negeri lain itu adalah masalah teknikal, mungkin mereka tidak menipu dan ia boleh berlaku di mana-mana sahaja,” katanya.
Katanya, jika perkahwinan itu mencukupi syarat nikah maka perkahwinan itu sah di sisi syarak.
"Jika ada aduan mengenai pernikahan yang mencukupi syarat nikah, dia (pengadu) ada masalah. Cumanya jika dia (pasangan pengantin berpoligami) bukan orang Perlis tetapi mengakui orang Perlis, bukan sahaja di Perlis, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja.
"Bukan orang Perlis berkahwin di Perlis, perkahwinan itu sah. Cuma dari segi teknikal dan undang-undang umpamanya boleh sesiapa sahaja untuk buat seperti berada di rumah bapa saudara,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, ia tidak ada kaitan dengan keabsahan perkahwinan.
"Itu hanya dari sudut teknikal, terserah kepada mahkamah. Dia tidak boleh kahwin sehingga selepas mahkamah sudah memeriksa semuanya,” katanya.
Beliau berkata, mengenai prosedur berpoligami di Perlis, Mohd Asri menegaskan sebelum berpoligami, mahkamah akan menyemak latar belakang calon termasuk keupayaan kewangan.
"Perlis tidak mensyaratkan mesti mendapat keizinan isteri pertama dan pemakluman kepada isteri pertama, tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
"Jika mahkamah melihat ada kesesuaian dan keperluan, mahkamah akan ada langkah-langkahnya tetapi tidak memerlukan persetujuan isteri pertama,” katanya.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan terdapat sindiket poligami dipercayai didalangi orang dalam di institusi kehakiman syariah negara dikesan menjadi jalan pintas kepada lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada satu tanpa pengetahuan isteri pertama.
Kegiatan yang digelar ‘scam poligami’ membabitkan penipuan maklumat dalam dokumen permohonan poligami itu dikhuatiri boleh menjejaskan institusi kehakiman syariah di Malaysia jika dibiarkan terus berleluasa.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh Sinar Harian, pihak yang terlibat dalam scam poligami berkenaan licik menyalahgunakan kuasa dan prosedur permohonan sehingga mampu memperdaya pihak mahkamah.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam program Sinar Live bertajuk ‘Pendedahan Scam Poligami’ di Shah Alam pada Jumaat berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat termasuk memberi amaran dan mengingatkan hakim-hakim, peguam syarie dan kakitangan mahkamah tentang tanggungjawab mereka.
Beliau turut mengesahkan telah menerima aduan berkaitan scam poligami melibatkan tandatangan beberapa minggu lalu.
ARTIKEL BERKAITAN JKSM dedah kegiatan scam poligami
Scam poligami jadi satu bisnes