BERLIN - Firma bioteknologi BioNTech di Jerman dimiliki pasangan saintis Muslim yang menghasilkan vaksin Covid-19 bersama syarikat farmaseutikal gergasi di Amerika Syarikat, Pfizer memberi amaran pada Selasa tiada data menyokong 'keberkesanan dan keselamatan' jika menangguhkan pemberian suntikan dos kedua kepada tiga minggu.
Kenyataan itu dikeluarkan firma terbabit selepas beberapa negara mengambil pendekatan tersebut selepas United Kingdom (UK) mengumumkan tentang rancangan itu pada minggu lalu.
Sebelum ini, data klinikal BioNTech menunjukkan keberkesanan 95 peratus vaksin itu bergantung kepada jadual suntikan dua dos yang diberikan secara berselang dalam tempoh 21 hari.
"Keberkesanannya tidak dinilai melalui jadual pemberian dos kedua yang mengambil tempoh lebih lama walaupun suntikan dos pertama memberi perlindungan seawal tempoh 12 hari.
"Tiada data menunjukkan perlindungan dos pertama dapat bertahan selepas 21 hari. Kami percaya suntikan dos kedua sangat penting untuk memberikan perlindungan maksimum terhadap wabak tersebut," ujarnya dalam satu kenyataan.
Firma berpusat di Mainz juga menyatakan kesediaan mereka untuk berdialog dengan pengawal selia, pihak berkuasa kesihatan dan kerajaan berhubung setiap keputusan kesihatan awam.
Pada Isnin, Denmark yang menghadapi kekurangan bekalan vaksin Covid-19 mengumumkan ia akan menangguhkan tempoh pemberian suntikan dos kedua sehingga enam minggu selepas UK menggunakan pendekatan sama dengan membuat penangguhan sehingga 12 minggu.
Ketika ini, Jerman sedang mempertimbangkan untuk membuat langkah sama dengan menangguhkan sehingga 21 hari.
Pakar mendakwa pendekatan itu bertujuan untuk memastikan lebih ramai penduduk mendapat suntikan dos pertama. - AFP