SEBERANG PERAI - Seorang lelaki ditemukan maut dalam keadaan mengerikan dipercayai terjatuh daripada jejantas sebelum dilanggar kenderaan di Jalan Jelawat, Seberang Jaya di sini pada malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, lelaki yang tidak dikenalpasti identitinya itu maut di tempat kejadian sebelum mayatnya dijumpai orang awam.
Menurutnya, dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa didapati telah terjun daripada jejantas tersebut lalu dilanggar kenderaan menyebabkan keadaan mayatnya ditemukan dalam keadaan menyayat hati.
"Mangsa dipercayai terjun dari jejantas dan dilanggar oleh kenderaan namun tidak dapat dipastikan jenis kenderaan tersebut.
"Mangsa yang berusia lingkungan 40-an itu dipercayai membunuh diri berdasarkan sepasang selipar yang dijumpai di atas jejantas selari dengan tempat dia jatuh,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mengulas lanjut, Abd Samad berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan beberapa bahagian badan hancur dan usus terburai dipercayai akibat terhempas dari tempat tinggi selain dilanggar kenderaan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati, muka dan tempurung kepalanya hancur selain sebahagian usus terkeluar.
"Mangsa juga mengalami patah lengan kiri dan paha kanan. Punca kematian disahkan kerana pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi dan dilanggar kenderaan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan lanjut masih dijalankan.