KOTA BHARU - Sejumlah 20 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 559 mangsa banjir di tiga daerah di negeri ini setakat pagi Rabu berbanding jumlah 78 mangsa pada Selasa.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9.57 pagi, jumlah mangsa terbaharu 559 itu terdiri daripada 162 keluarga membabitkan kawasan bencana di tiga daerah iaitu Tanah Merah, Kuala Krai dan Jeli.
Jeli merekodkan mangsa banjir tertinggi ketika ini dengan 263 mangsa yang ditempatkan di lima PPS diikuti Kuala Krai 168 mangsa (7 PPS) manakala Tanah Merah, 128 (8 PPS).
Sementara itu, menurut infobanjir.water.gov.my, lima sungai di negeri itu turut merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang merekodkan bacaan 59.29 meter (amaran 57.50 m), Sungai Kelantan di Kuala Krai 25.98 (amaran 22.50 m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah pada 16.37 m (amaran 14 m), Sungai Golok di Jenob 25.54 m (amaran 22.50 m) manakala sungai Galas di Dabong, Kuala Krai 38.41 m (amaran 35 m).
Dalam perkembangan sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara mengeluarkan amaran banjir membabitkan tiga daerah dijangka banjir bermula tengah hari pada Rabu.
"Lokasi dan kawasan sekitar yang terlibat iaitu di Sungai Galas, Kuala Krai dengan banjir dijangka bermula pada jam 12 tengah hari.
"Di Sungai Nal, Sungai Durian, Sungai Pahi di Kuala Krai dan Sungai Galas di Gua Musang banjir dijangka bermula pada jam 4 petang manakala Sungai Kelantan di Tanah Merah pada jam 12 tengah malam," katanya.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, susulan amaran banjir yang dikeluarkan JPS, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa peka berwaspada dengan keadaan sekitar.
"Rakyat dinasihati agar berwaspada dan berhati-hati dengan situasi semasa. Semoga kita semua dilindungi Allah daripada bencana buruk. Insya-ALLAH,” katanya.