PUTRAJAYA - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh dilaksanakan sekiranya semua pihak berganding bahu memberi kerjasama mematuhi normal baharu dan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 meskipun negara masih bergelut dengan pandemik itu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan polis untuk sebarang pelaksanaan kawalan selaras dengan arahan terkini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"SPR yakin sekiranya semua pihak berganding bahu memberikan kerjasama sepenuhnya, PRU15 boleh dilaksanakan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, Garis Panduan Pencegahan Covid-19 akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses pilihan raya.
"Ia termasuklah taklimat petugas, penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi," katanya.
Beliau berkata, bagi aktiviti berkempen pula, calon atau parti bertanding digalakkan berkempen menggunakan platform media sosial sepertimana yang disarankan sejak penularan pandemik Covid19 bermula dari Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, DUN Slim dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
"Bukan itu sahaja, calon atau parti bertanding juga digalakkan menggunakan media massa untuk berkempen seperti melalui iklan surat khabar ataupun temuramah.
"Pada masa yang sama, pengedaran risalah atau pamplet melalui pos juga boleh dilaksanakan.
"Ini terpulang kepada kreativiti calon atau parti yang bertanding untuk meraih sokongan," katanya.
Abdul Ghani berkata, PRU15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen.
"SPR bertanggungjawab menjalankan PRU berdasarkan kepada bidang kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Terdahulu, suhu politik tanah air kembali meledak selepas sumber mengesahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor memberikan arahan untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan dan agensi berkaitan kerajaan (GLC) sebelum 1 Februari.
Tindakan itu sebagai langkah untuk mencetuskan PRU15.
UMNO adalah blok terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hanya mempunyai majoriti tiga kerusi di Dewan Rakyat.