SAN FRANCISCO - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mengarahkan pengharaman Alipay, WeChat Pay dan beberapa aplikasi yang mempunyai kaitan dengan syarikat China.
Beliau berkata, arahan itu dilakukan kerana aplikasi tersebut boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada negara.
Arahan itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 45 hari, beberapa minggu selepas Trump digantikan dengan bekas Naib Presiden AS, Joe Biden sebagai Presiden negara itu yang ke-45.
Bagaimanapun, menurut AFP, seorang pegawai kanan berkata, arahan itu tidak pernah dibincangkan dengan bakal pentadbiran Biden yang akan mentadbir negara tersebut.
Tindakan itu dipilih selepas arahan eksekutif dikeluarkan sebelum ini dengan sasaran untuk mengharamkan TikTok yang dimiliki syarikat China, ByeDance.
Bagaimanapun, arahan itu tidak dilaksanakan ekoran keputusan sebuah mahkamah yang menyatakan Trump melangkaui undang-undang kekuasaannya.
Namun, aplikasi terbaharu yang dipilih itu kerana ia mencatatkan bilangan tinggi muat naik sekali gus bermaksud berjuta-juta pengguna berada dalam risiko kerana data mereka mungkin digunakan, menurut seorang pegawai pentadbiran.
Trump mengarahkan Setiausaha Perdagangan AS untuk mengkaji tentang aplikasi-aplikasi yang sepatutnya turut sama diharamkan.
Selain Alipay dan WeChat, arahan Trump itu juga melibatkan CamScanner, QQ Wallet, SHAREit, Tencent QQ, VMate dan WPS Office.
Aplikasi Alipay dimiliki oleh pengasas Kumpulan Ant yang juga bilionair terkenal China, Jack Ma. - Agensi