Hanyut ketika ambil bola

Iklan
Rakan-rakan mangsa menanti di lokasi kejadian. (Gambar kecil: Muhammad Bilal)

DUNGUN -"Kami berjaya pegang tangannya tapi terlepas kerana ombak terlalu kuat,” kata Muhammad Kasim, 30, rakan senegara kepada warga Pakistan yang hilang di Pantai Petak, Paka, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Muhammad Bilal Muhammad Akram, 24, hilang selepas dihanyutkan ombak besar ketika mandi manda di pantai berkenaan.

Iklan
Iklan

Muhammad Kasim berkata, mangsa dari Lahore, Pakistan baru datang ke Paka pada 2 Februari lalu untuk melawat rakan-rakan lain.

"Saya dan rakan lain kerja di sebuah syarikat industri di Kerteh dan mangsa menumpang di rumah kami di Jalan Kelisa.

Iklan

"Jarak rumah lebih kurang 200 meter dari pantai dan kira-kira 12 tengah hari kami ke sana.

"Kami berempat termasuk mangsa mengambil keputusan untuk mandi apabila melihat pemuda kampung bermain bola di situ,” katanya.

Iklan

Menurutnya, mereka juga ikut serta mandi dan bermain bola di pantai berkenaan.

"Ketika seronok bermain, bola yang dilempar hanyut di tengah laut menyebabkan mangsa berenang untuk mengambilnya semula.

"Kami sempat mencapai dan memegang kedua belah tangannya tetapi ketika itu air sangat dalam serta ombak kuat.

"Ombak kuat menyebabkan pegangan terlepas dan kami juga hampir lemas,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Pakistan dikhuatiri lemas]

Muhammad Kasim berkata, selepas dilambung ombak mangsa hilang dari pandangan.

Katanya, dia dan rakan-rakan yang berjaya naik ke darat kemudian meminta bantuan penduduk sebelum membuat laporan di Balai Polis Paka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, sehingga jam 6 petang, semalam, usaha mencari dan menyelamat masih gagal menemui mangsa.

Menurutnya, seramai 66 anggota terlibat dalam operasi berkenaan termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela dan penduduk.

"Setakat ini usaha mengesan mangsa masih gagal dan kita akan pergiatkan lagi sehingga ditemui.

"Lokasi dan jarak pencarian juga akan diperluas,” katanya.