KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Rabu diberitahu perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan mengambil masa panjang dan dijangka melangkaui tarikh perbicaraan kes pecah amanah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dihadapi bekas perdana menteri itu bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Pada 9 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan perbicaraan kes pecah amanah itu selama 32 hari pada setiap hari dalam bulan September dan Oktober 2021 kecuali hari Jumaat, bagi memberi laluan kepada perbicaraan dua kes jenayah (1MDB dan laporan audit) membabitkan Najib selesai.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan kes 1MDB akan mengambil masa lama kerana ketika ini masih di peringkat pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman dan pendakwaan dijangka memanggil 60 saksi.
"Saya ingin tanya Yang Arif (Muhammad Jamil) sekiranya perbicaraan kes 1MDB melangkaui tarikh perbicaraan (kes pecah amanah) adakah Yang Arif akan mengambil kira tarikh sambung bicara 1MDB dengan kes ini (pecah amanah)?.
"Ini kerana perbicaraan kes 1MDB nampak panjang... saya pohon satu tarikh pengurusan kes pada 21 Mei yang telah dipersetujui kedua-dua pihak untuk memaklumkan status terkini dua kes jenayah (1MDB dan laporan audit) membabitkan anak guam saya," katanya semasa pengurusan kes itu pada Rabu.
Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan Serigar tidak membantah perkara itu, bagaimanapun memohon kehadiran anak guamnya dikecualikan semasa pengurusan kes pada 21 Mei kerana tertuduh yang mengambil kursus undang-undang di sebuah kolej swasta akan menduduki peperiksaan.
Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk pengurusan kes dan membenarkan kehadiran Mohd Irwan Serigar dikecualikan pada tarikh itu serta mengekalkan tarikh bicara sebelum ini.
"Buat masa ini tarikh bicara pecah amanah yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan,” kata hakim.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab Rahman. Kedua-dua Najib, 67, dan Mohd Irwan Serigar, 63, hadir di mahkamah pada Rabu.
Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.
Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama