TUDM hantar satu tan bekalan ke kawasan banjir di Pahang

Iklan
TUDM menghantar bekalan makanan dan barangan keperluan asas ke kawasan terjejas banjir di Kuantan sejak Isnin lalu. Foto Facebook TUDM

KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menghantar lebih satu tan bekalan makanan dan barangan keperluan asas ke kawasan terjejas banjir menerusi Ops Murni di Pahang sejak Isnin lalu.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, pasukan itu mengatur gerak helikopter EC 725 AP dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan dan anggotanya bagi menghantar bekalan berkenaan ke kawasan yang terputus hubungan menerusi laluan darat.

Iklan
Iklan

Isnin lalu, pasukan itu melaksana tiga penerbangan penghantaran bekalan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seberat 250 kilogram di sekitar daerah Kuala Lipis dan Temerloh dengan penghantaran dilakukan ke kem Pasukan Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD), Sekolah Kebangsaan (SK) Budu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lipis dan SK Lubuk Terua.

"Semalam (Selasa), sebanyak 10 penerbangan dilakukan bagi menghantar satu tan bekalan daripada JKM ke Kem Batu 3, SK Lubuk Terua, SK Lanchang, Institut Kemahiran Belia Negara Lanchang, SK Desa Bakti, SK Rantau Panjang, SK Penjom dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh,” katanya kenyataan itu.

Iklan

Kenyataan itu turut memaklumkan TUDM juga melakukan tiga penerbangan ihsan bagi membolehkan mangsa banjir mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Selasa.

"Penerbangan ihsan pertama membawa seorang lelaki yang menghidap sakit jantung iaitu Mohd Sayuti Md Rajab, 39, manakala penerbangan ihsan kedua membawa seorang lelaki warga emas yang mengalami penyakit buah pinggang iaitu Mohd Zain Abdul Manan, 77, yang kedua-duanya diterbangkan dari SK Lanchang.

Iklan

"Penerbangan ihsan ketiga membawa dua bayi pasangan kembar berusia empat bulan, Afya Zara Rosman Hafsam dan Arfan Naufal Rosman Hafsam yang diterbangkan dari SMK Teluk Sentang,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, semua mangsa diterbangkan ke SMK Seberang Temerloh sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital berkenaan. - Bernama