PASIR GUDANG - Sepasang pengantin baharu di sini terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan mereka kerana rumah pengantin perempuan di Kampung Plentong Baru dilanda banjir pada Sabtu lalu.
Namun pasangan tersebut, Nurul Fatin Ismah Md Khairuddin dan Daniel Asraf masing-masing berusia 25 tahun tetap 'disatukan' selepas selamat dinikahkan di pejabat agama di sini pada hari sama.
Bapa Nurul Fatin, Md Khairuddin Yaman, 50, berkata, beliau bersyukur anak sulung daripada empat beradik itu selamat dinikahkan walaupun majlis perkahwinan terpaksa ditangguhkan sehingga banjir reda.
"Pada awalnya kami merancang pengantin akan menikah di rumah kami pada Jumaat tetapi tidak jadi kerana hujan lebat berterusan dan air mula naik. Kemudian pernikahan itu dipersetujui dijalankan tetapi di pejabat agama.
"Melihat keadaan bertambah buruk, kami putuskan untuk menangguhkan majlis perkahwinan walaupun terpaksa melakukannya dalam masa singkat. Ini kerana jika diteruskan banyak risikonya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya pada Rabu.
Menurutnya, mereka sekeluarga memaklumkan penangguhan majlis tersebut dengan menghubungi kenalan dan tetamu termasuk menghantar mesej melalui WhatsApp kerana kad jemputan sudah lebih sebulan diedarkan.
Md Khairuddin berkata, keluarganya juga memasang kain rentang di depan rumah memaklumkan penangguhan majlis tersebut tetapi tidak menyangka ada juga tetamu yang datang kerana tidak tahu majlis ditangguhkan.
Katanya, keputusan itu terpaksa dilakukan kerana air sudah naik di sekeliling rumah mereka pada Jumaat malah terdapat jalan di kawasan rendah di kampung tersebut dinaiki air dan sudah terputus hubungan.
"Walaupun kami sekeluarga berat hati untuk menangguhkan majlis perkahwinan ini yang sudah dirancang lebih setahun lalu, keputusan ini terpaksa dilakukan dan menganggap ada hikmah di sebaliknya," katanya.
Meskipun majlis kahwin dibatalkan, beliau berkata, kenduri secara kecil-kecilan dan persandingan ringkas tetap diadakan untuk ahli keluarga sahaja termasuk keluarga pihak lelaki dari Taman Daya di sini.
"Walaupun secara kecil-kecilan tetap meriah. Kami juga menerima tetamu istimewa pada hari itu kerana secara kebetulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh datang ke rumah semasa meninjau keadaan banjir di kampung ini," katanya.
Katanya, keluarganya merancang melaksanakan majlis perkahwinan itu pada 30 Januari ini sekiranya keadaan sudah pulih.