SHAH ALAM - Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta parti itu membuat pertimbangan wajar dalam soal hala tuju parti dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi malam ini.
"Sekiranya parti memutuskan semua Menteri UMNO perlu letak jawatan, saya akan patuh dan letak jawatan.
"Walau bagaimanapun, dalam menentukan kerjasama politik, UMNO harus mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas dalam merancang jalan ke hadapan parti.
"Pertimbangan yang dibuat jangan bersandarkan emosi dan kesan jangka masa pendek," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong dalam kenyataannya pada Rabu.
Dalam pada itu, katanya, keputusan bakal dibuat parti akan menentukan jatuh bangunnya UMNO, memberi kesan kepada nilai dan asas perjuangan UMNO, dan juga kedudukan UMNO dalam pilihan raya akan datang.
"Jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti harus putuskan dengan siapa UMNO akan bekerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Adakah dengan DAP? Adakah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Atau bersendirian?" soalnya.
Katanya, perancangan kerjasama politik UMNO harus dibuat dengan teliti kerana pilihan raya bukannya esok dan UMNO mesti lakukannya dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan.
Menurutnya, iktibar yang harus diambil oleh UMNO adalah BN hanya menang 79 kerusi pada PRU14 daripada 133 kerusi yang dimenangi pada PRU13.
"Ini bermakna kita kehilangan 54 kerusi. Kita harus insaf daripada pengalaman ini. Tambahan, kita masih berperang dengan Covid-19. Kes harian masih tinggi. Negara juga sedang dilanda banjir.
"Ekonomi juga sedang dipulihkan. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat. Parti UMNO sedang diberi peluang untuk buktikan kepada rakyat bahawa pemimpin kita prihatin, berkemampuan, dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis dan menitikberatkan kepentingan rakyat," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN UMNO bekerjasama dengan DAP untuk bentuk kerajaan baharu, kata Annuar
Annuar dedah pemimpin UMNO keluar surat sokongan kepada Anwar
Kerjasama UMNO-DAP: Najib nafi dakwaan Annuar
Hishammuddin berkata, pemimpin UMNO diberi amanah mengetuai Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab terhadap soal keselamatan negara dan menangani penularan Covid-19.
Selain itu, katanya, UMNO juga mengetuai Kementerian Kesihatan yang memegang tanggungjawab besar memimpin petugas barisan hadapan negara serta mengetuai Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi yang sedang berusaha keras mendapatkan bekalan vaksin secepat mungkin.
"Kita sepatutnya komited dalam usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Pada hemat saya inilah harapan rakyat di bawah kepada pemimpin UMNO. Bukan berpolitik merebut kuasa yang tiada kesudahan. Akhirnya rakyat mual dan hilang keyakinan.
"Kepada ahli Majlis Kerja Tertinggi yang akan bermesyuarat pada malam ini, biar ahli parti dan rakyat jelas apa sebenarnya UMNO inginkan. Putuskanlah yang terbaik," katanya.