GEORGETOWN - Pesakit Covid-19 warga tempatan yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kompleks Sukan, Balik Pulau akan dipindahkan segera ke Pusat Latihan Zakat (PULAZA), kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Menurutnya, pemindahan pesakit warga tempatan itu perlu bagi menangani masalah kesesakan pesakit di PKRC Kompleks Sukan Balik Pulau.
"Kerajaan negeri mengambil maklum akan liputan media berhubung ketidakcukupan kemudahan di PKRC Kompleks Sukan Balik Pulau dan dengan itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan memindahkan pesakit warganegara Malaysia yang berada di kompleks sukan ke PULAZA, agar bilangan pesakit di kompleks sukan ini dapat dikurangkan," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Beliau berkata, PULAZA yang terletak di Balik Pulau juga sebelum ini merupakan tempat kuarantin bagi individu yang pulang dari luar negara dan kini pusat tersebut (PULAZA) digunakan semula bagi tujuan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pusat Covid-19 berisiko rendah didakwa padat, tak patuh SOP
Media sebelum ini melaporkan terdapat rungutan daripada pesakit Covid-19 yang dikuarantin di kompleks itu meluahkan rasa tidak puas hati dan kecewa berhubung tahap kebersihan serta layanan yang diterima di tempat tersebut antaranya terpaksa menunggu satu jam untuk menggunakan tandas berikutan pesakit yang terlalu ramai.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata kerajaan negeri menyarankan agar kilang-kilang di negeri ini turut mengambil inisiatif menyediakan PKRC di tempat kerja atau kilang bagi menempatkan pesakit Covid-19 yang berisiko rendah.
"Kita cadangkan kilang-kilang yang ada kemudahan sesuai untuk menyediakan tempat kuarantin kepada pekerja yang telah menjalani ujian saringan Covid-19," katanya.
Kon Yeow berkata kerajaan negeri turut bercadang untuk membuka beberapa buah lagi PKRC bagi menampung bilangan pesakit yang dijangka meningkat.
"Kita akan mencadangkan beberapa lokasi untuk dijadikan PKRC kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibentang dalam sidang MKN (Majlis Keselamatan Negara) bagi memperoleh kelulusan dan peruntukan daripada kerajaan pusat berhubung kos bagi membuka PKRC di negeri ini," katanya,
Kon Yeow berkata, antara lokasi yang dicadangkan untuk PKRC ialah Setia Spice Arena kerana ia boleh menampung kapasiti pesakit lebih 1,000 orang. - Bernama