SHAH ALAM - Tadbir urus yang lemah dan kekerapan pertukaran dasar jelas membuktikan ketidakmampuan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa, tadbir urus yang lemah telah menimbulkan keraguan besar mengenai komitmen Muhyiddin terhadap akauntabiliti dan ketelusan.
Menurutnya, ia dibuktikan dengan dua perubahan dasar iaitu memilih tender secara rundingan terus berbanding tender secara terbuka, dan pelantikan ahli politik yang tidak berkelayakan untuk mengetuai atau menjadi pengarah dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dengan aset awam bernilai puluhan bilion ringgit.
"Kurangnya komitmen Muhyiddin terhadap tender secara terbuka mendapat perhatian antarabangsa berikutan pendedahan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung.
"Ye Kung mengatakan sebab utama mengapa kedua-dua negara tidak dapat mencapai persetujuan mengenai Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura adalah kerana Malaysia ingin menyingkirkan syarikat aset tender bersama (AssetsCo).
"Ye Kung turut mengatakan bahawa melalui tender antarabangsa yang terbuka dan telus, AssetsCo akan memastikan kebertanggungjawaban kepada kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, ia juga dibuktikan dengan pelantikan ahli politik yang tidak berkelayakan untuk menggantikan profesional dalam GLC yang dibuktikan di Prasarana, di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan oleh pengerusi.
Pada masa sama, beliau menyifatkan alasan bahawa Malaysia tidak mempunyai sumber kewangan berhubung pembelian vaksin seperti Singapura, adalah tidak masuk akal dan tidak dapat diterima.
"Pada ketika Singapura memperoleh penghantaran dan memulakan vaksinasi secara besar-besaran, Malaysia masih perlu menunggu dua bulan lagi dan alasan bahawa Malaysia tidak mempunyai sumber kewangan seperti Singapura adalah tidak masuk akal dan tidak dapat diterima apabila kos yang terlibat adalah RM2.1 bilion.
"Ia jelas memperlihatkan ketidakmampuan para menteri dalam menyokong sepenuhnya wira barisan hadapan yang berjuang untuk membendung krisis kesihatan awam dengan risiko nyawa mereka.
"Bukan hanya Menteri Kesihatan tetapi seluruh Kabinet harus bertanggungjawab, terutama atas kelewatan untuk mendapatkan vaksin dan sebagai bekas Menteri Kewangan, izinkan saya menyatakan dengan tegas bahawa Malaysia pasti mampu menyediakan RM2.1 bilion untuk mendapatkan penghantaran vaksin lebih awal," katanya.
Guan Eng berkata, keengganan kerana kedekut untuk menyediakan RM2.1 bilion adalah kegagalan yang lebih besar dan lebih tidak kompeten daripada penurunan penarafan kredit Malaysia oleh Fitch baru-baru ini.