SHAH ALAM – Isu keselamatan mengenai kesan sampingan penggunaan vaksin bukanlah isu baharu dan semua ubat memerlukan perimbangan keselamatan dan risiko.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, apa sahaja yang digunakan seperti ubat-ubatan dan makanan, kita akan memastikan ia selamat untuk diri kita sendiri.
Menurutnya, persoalan yang ditanya oleh semua orang mengenai vaksin ialah adakah ia selamat atau tidak walaupun di mana sahaja mereka berada antaranya di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan di Belgium.
"Hanya mereka yang mendapat keyakinan 100 peratus ia tidak memudaratkan, akan menggunakannya,” katanya.
Katanya, mencari maklumat (mengenai vaksin) menjadi salah satu isu utama yang menentukan (vaksin) selamat atau tidak, untuk mengimbangi perkara berkenaan, masyarakat perlu melihat kepada data.
"Data yang diperoleh mesti saintifik data, telus dan kita boleh persoalkan. Debat (wacana) seperti ini digalakkan, kalau kementerian nak membuat sesuatu, kementerian perlu beri maklumat yang sepatutnya.
"Kita boleh persoalkan kalau tidak betul kerana kita akan menjadi mangsa. Itu perdebatan yang ada sekarang,” katanya.
Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, sebelum ini, masyarakat Greek tidak mengira perihal halal atau tidak ketika membuat vaksin kerana mereka mahu penyelesaian perubatan diperoleh.
"Dalam keadaan seadanya tidak ada orang membuat vaksin bermula dengan memikirkan sama ada halal atau tidak. Sama ada masyarakat ortodok, tradisional dan moden mereka menyasarkan untuk mencari penyelesaian perlindungan, vaksin halal atau tidak akan menjadi perkara nombor dua,” katanya.
Tambahnya, penularan Covid-19 memberikan impak yang besar kepada negara dan pelbagai pengajaran yang diperoleh dalam usaha berterusan untuk memutuskan rantaian wabak itu dalam negara dan di peringkat global.
"Kita (rakyat Malaysia) kena melihat kembali ilmu yang ada pada zaman dahulu (mungkin zaman Andalusia) dan perkara yang boleh membawa kepada kebaikan sebagai sumbangan kepada Islam yang boleh berdikari terutamanya dalam bidang perubatan.
"Ini adalah satu pengajaran daripada Covid-19, kita memahami bahawa orang Islam sejak dahulunya hebat dan tidak selekeh sahaja. Kita mempunyai tamadun, kuasa, keupayaan dan keberanian menongkah arus, inilah masanya,” katanya.
Beliau berkata, kita tidak perlu bergantung 100 peratus kepada teknologi dan ilmu yang dimiliki oleh orang lain.