KWSP luluskan 2.5 juta permohonan i-Sinar

Iklan

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan 2.5 juta permohonan i-Sinar daripada jumlah keseluruhan sebanyak 3.88 juta setakat 4 Januari sejak permohonan kategori satu dibuka bermula 21 Disember lalu.

Menurut KWSP dalam kenyataannya pada Rabu, jumlah pengeluaran yang diluluskan adalah sebanyak RM19.62 bilion dengan pembayaran bulan pertama berjumlah RM10.07 bilion secara berperingkat bermula 5 Januari.

Iklan
Iklan

Tambahnya, 1.4 juta permohonan yang masih belum diluluskan berada di dalam kriteria kategori dua yang akan dibuka permohonannya mulai 11 Januari ini.

"Bagi ahli yang termasuk dalam kategori dua, mereka disarankan untuk menyediakan dokumen yang berkaitan seperti slip gaji rasmi yang memperincikan jumlah gaji termasuk elaun lebih masa dan komisen serta penyata bank untuk dimuat naik di i-Sinar Online.

Iklan

"Bagi melancarkan proses permohonan, ahli perlu memastikan semua dokumen yang dihantar adalah jelas, sah dan dapat menyokong permohonan mereka,” katanya.

KWSP menambah, daripada 3.88 juta permohonan yang diterima, 701 daripadanya tidak dapat diluluskan atas faktor perbezaan nombor akaun bank, permohonan yang dibuat untuk ahli yang telah meninggal dunia atau ahli telah berumur 55 tahun dan layak untuk mengeluarkan kesemua simpanan KWSP mereka.

Iklan

Dalam pada itu, katanya, KWSP memberi jaminan kepada ahli bahawa setiap aspek keselamatan telah diambil bagi mengelakkan pihak ketiga atau scammer yang tidak bertanggungjawab daripada membuat permohonan palsu dan menjejaskan simpanan persaraan.

KWSP turut menasihatkan agar ahli tidak berkongsi gambar atau dokumen-dokumen berkaitan permohonan i-Sinar mereka di platform media sosial kerana boleh mendedahkan diri kepada penipuan atau aktiviti scam.