50 anggota pembangkang ditangkap di Hong Kong

Iklan
Gambar fail menunjukkan seorang anggota polis menangkap seorang aktivis prodemokrasi Hong Kong. - Foto AFP

HONG KONG - Seramai 50 anggota pembangkang ditangkap pada Rabu di bawah undang-undang keselamatan kebangsaan baharu dalam satu operasi terbesar bagi menangani para pengkritik Beijing.

Operasi terbaharu itu dilakukan ketika China didakwa mahu menghapuskan para penentangnya di pusat perniagaannya yang diberikan kuasa semi autonomi selepas berjuta-juta penduduk berhimpun di jalan-jalan raya pada tahun 2019 dan kadangkala bertukar menjadi ganas dalam protes demokrasi.

Iklan
Iklan

Menurut dua sumber polis kepada AFP, kira-kira 50 orang telah ditangkap oleh unit baharu keselamatan kebangsaan di bandar raya Hong Kong.

Polis menangkap sejumlah tokoh pembangkang termasuk bekas penggubal undang-undang yang prodemokrasi, James To, Andrew Wan dan Lam Ceuk Ting sehingga kepada aktivis yang lebih muda.

Iklan

Antara aktivis muda yang mengesahkan penangkapan melalui Facebook ialah Gwyneth Ho iaitu bekas wartawan yang berusia 30 tahun dan kini menjadi aktivis sosial dan seorang ahli majlis daerah, Tiffany Yuen.

Polis Hong Kong tidak memberikan komen mengenai berapa ramai lagi penentang Beijing akan ditangkap dan kenapa mereka ditangkap.

Iklan

Tokoh-tokoh pembangkang berkata, tangkapan tersebut mempunyai kaitan dengan satu pemilihan awal yang dikendalikan oleh sebuah parti prodemokrasi pada tahun lalu sebelum pilihan raya perundangan tempatan diadakan.

Lebih 600,000 penduduk Hong Kong keluar mengundi dalam pemilihan tersebut yang diadakan bertujuan untuk memilih siapa yang layak dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya perundangan.

Hanya separuh daripada 70 kerusi dipilih dalam pilihan raya majlis perundangan itu.

Seorang anggota majlis perundangan daerah, Ng Kin-wai menyiarkan detik-detik beliau ditangkap di rumahnya secara langsung menerusi Facebook.

"Saya kini menangkap anda kerana kesalahan subversi. Anda menyertai pemilihan yang dinamakan sebagai undi rakyat 35+ pada tahun 2020 sebagai usaha untuk memilih 35 orang atau lebih menjadi ahli majlis perundangan," kata pegawai polis yang menangkapnya.

Pegawai itu berkata, kempen tersebut bertujuan untuk mengganggu atau menjatuhkan kerajaan menyebabkan dakwaan subversi dikenakan ke atasnya. - AFP