KURANGNYA penghayatan terhadap ajaran Islam berpandukan al-Quran menyebabkan akhlak dan nilai bangsa semakin reput dan terhakis.
Amalan rasuah oleh pegawai kerajaan semakin berleluasa sehingga menjadi duri dalam daging.
Ikuti kupasan bersama Pengerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dalam Wacana Al-Quran bertajuk Kereputan Akhlak, Runtuhnya Nilai Bangsa pada Rabu.
Wacana Al-Quran dipancarkan dari Studio F Kumpulan Karangkraf itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan surah al-An’am.
Moderator: Apabila melihat pada surah al-An’am, latar belakangnya ialah reput akhlak pada zaman Nabi Muhammad SAW hadir ke Makkah dan surah itu turun pada hujung dakwah Nabi, fokusnya kepada keimanan kerana keimanan dan akhlak saling terkait. Bagaimanakah pula akhlak pada tahun 2020/2021, adakah ia sudah reput atau masih baik sebenarnya?
Hussamuddin: Bagi saya, apa yang sedang berlaku ataupun yang sedang dipaparkan, itulah yang berlaku. Contohnya kegiatan kartel daging haram. Itu sebenarnya sebuah gambaran ataupun indikator tentang status pegangan nilai dan moral bangsa.
Kalau kita lihat perbincangan di dalam sosial media, dengan bahasa yang digunakan, begitu mudah seseorang itu menjatuhkan hukuman apabila semua mahu menjadi hakim. Jadi ini memberikan gambaran tentang status.
Manusia kini sudah hilang pertimbangan. Sebagai contoh, bila kita bercerita tentang kartel daging, kita tengok bagaimana peniaga yang tamak, yang mahu mengaut untung lebih sehingga sanggup memanipulasikan sistem (dengan mengamalkan rasuah).
Mereka (peniaga) bekerjasama dengan beberapa pegawai yang korup untuk menghalalkan kegiatan haram itu. Kalau dahulu, indikatornya lain. Indikator sekarang kita tengok rasuah itu berleluasa dan sudah diterima sebagai norma.
Orang-orang yang jelas terlibat dengan penyalahgunaan kuasa disanjung dan dipuja. Kalau kita tengok setiap hari dalam kehidupan kita, ada yang perlu menjadi pemberi atau penerima rasuah untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan.
Sekarang ini well-known secret (rasuah) kebanyakan semua orang tahu walaupun peniaga kecil ataupun seorang katerer yang membekalkan makanan kepada bahagian (department) untuk jamuan teh atau sebagainya.
Apabila mahu serahkan invois, ada upahnya kepada individu yang hendak proses invois berkenaan. Di jalan raya atau sebagainya, bila ditahan (polis), boleh selesai atau tidak. Maknanya setiap peringkat masyarakat sudah menerima rasuah sebagai satu kebiasaan.
Kita boleh tengok juga, ada orang yang di forum atau sebagainya bercakap menentang rasuah tetapi bila hendak mendapatkan pembantu rumah, dia sanggup bayar RM1,000 ke RM2,000 kepada runner untuk urusan mendapatkan permit pembantu rumah. Jadi dia guna pakai indikator itu. Mengapa itu berlaku?
Kita melihat sistem kawalan dalaman berlaku kelonggaran sedangkan sepatutnya kita orang Islam, kita mesti ada perasaan takutkan ALLAH. Kalau hendak buat sesuatu kita kena fikir, boleh atau tidak boleh. Tetapi sekarang, semuanya sudah boleh.
Kalau berlaku di satu peringkat sahaja, mungkin tidak apa. Tetapi kita tengok ia berlaku pada keseluruhan sistem. Kalau sistem itu besar, lagi besarlah (masalah berlaku). Contoh, ada orang masuk tender dan ada perkara tidak dapat diurus tetapi tender itu boleh lulus kalau dia ‘bayar’. Ia sudah berlaku berpuluh-puluh tahun.
Dalam kes kartel daging haram, kalau mengikut laporan Sinar Harian sudah bertahun-tahu perkara itu berlaku. Maknanya peniaga itu sanggup menjual daging yang haram, letak cop halal palsu tetapi tiada sesiapa yang membuat pemeriksaan. Ketika masuk di pelabuhan, boleh bolos dengan mudah.
Jadi mesti ada orang yang bersubahat sedangkan orang itu atau pegawai-pegawai terbabit orang Melayu, Islam. Dia tahu, orang Islam kalau hendak makan daging mestilah daging yang halal. Tetapi dia sanggup bersekongkol. Jika ia diterima sebagai norma, semakin parah masyarakat kita.
Norma REPUT ini bukan berlaku tiba-tiba, ia sudah lama berlaku walaupun kebanyakan rakyat di Malaysia beragama Islam dan al-Quran sebagai panduan. Namun di mana Islam dan al-Quran?
Saya tengok ia tidak berhubung (disconnected) kerana semasa zaman saya dulu, cara Islam atau al-Quran diajar itu keutamaannya kepada tilawah. Boleh baca dengan betul dan kalau sesetengah yang pandai, boleh jadi hafiz. Dia boleh hafal tetapi kefahaman itu tidak dititikberatkan.
Apa yang saya faham al-Quran itu adalah manual tentang cara untuk hidup dan mati. Oleh kerana kita tidak faham manual itu, dengan sendirinya kita akan terpengaruh dengan manual-manual yang kita boleh faham. Manual-manual itu kita dapatkan melalui pembacaan, televisyen dan sosial media. Jadi itulah manual atau prinsip yang kita pegang dalam kehidupan kita.
Oleh kerana kita tidak berpandukan kepada al-Quran, kita berpandukan kepada apa yang dilihat dan dengar, ini yang mempengaruhi pemikiran kita. Maknanya kita suka kepada glamor, duniawi serta benda-benda yang senang serta keseronokan, itu yang banyak mempengaruhi.
Bagi orang-orang yang tidak mempunyai roh al-Quran, mereka mudah keliru. Bila dia dalam kesusahan, ada pula orang yang menawarkan sesuatu dan dia akan terpengaruh.
Mula-mula minum kopi dulu, lama kelamaan ‘permintaan’ semakin tinggi dan akhirnya ia akan jadi sistem. Saya rasa yang menjadi sebab adalah kerana negara kita demokrasi. Cara kita memilih pemimpin adalah melalui populariti.
Jadi sekarang untuk mendapatkan populariti. Oleh kerana kita negara membangun, ditambah keimanan kita pula tidak kuat, jadi cara kita untuk naik ialah dengan berbelanja. Bila belanja, orang sudah biasa dengan belanja dan menerima belanja. Belanja lagi besar dan banyak lagi bagus.
Orang yang hendak berkuasa itu mula-mula berbelanja sikit, tetapi bila keperluan untuk berbelanja itu besar, dia kena cari sumber lain.
Jadi Datuk tidak setuju apabila ada pilihan raya dan ahli politik yang terpaksa ‘berbelanja’?
Sepatutnya ahli politik itu ialah law maker (penggubal undang-undang). Orang-orang yang lebih bijak daripada orang biasa. Mereka adalah orang yang membantu orang lain dan ada idea-idea lain daripada yang kebiasaan.
Untuk melaksanakan idea itu, mereka ini kena ada kuasa dan salah satu kuasa ada pada mereka adalah undang-undang. Ahli Parlimen yang mengubah dan menentukan polisi atau undang-undang sebuah negara. Jadi (kalau mereka korup) bagaimana hendak menguruskan negara?
Untuk mendapatkan kuasa, dia kena bayar. Sepatutnya seorang pemimpin, idea kena lebih baik daripada orang lain. Barulah dia boleh menyumbang idea, tenaga dan harta. Seperti konsep zakat. Zakat atau wakaf ini bukan duit sahaja. Sepatutnya kita perlukan pemimpin sebegini.
Pemimpin yang beli undi bila hendak jadi ketua cawangan, mereka belanja satu kampung. Beli rokok, bayar yuran anak-anak orang kampung. Bila ada kenduri, kena bagi sampul surat besar.
Ini yang saya kata, kereputan nilai moral bangsa itu berpunca daripada kita sendiri.
Maknanya sepatutnya seorang pengundi itu tidak boleh minta atau jangka apa-apa daripada calon.
Sepatutnya, calon nak jadi pemimpin itu mestilah boleh bawa idea baru dan boleh bawa undang-undang baru untuk tadbir negara dengan baik.
Bagaimana Datuk melihat al-Quran sebagai solusi kepada rasuah di negara kita?
Mereka mungkin tidak dapat membaca al-Quran tetapi mereka dapat melalui nilai (value) yang ada pada al-Quran. Jadi sebenarnya, sistem pendidikan di peringkat parenting (keibubapaan), atau di sekolah tidak menitikberatkan tentang nilai sedangkan ia ada dalam al-Quran.
Jadi kegagalan sistem keibubapaan berlaku apabila kita tidak gali nilai yang ada dalam al-Quran itu untuk dimasukkan ke hati supaya boleh membentuk karakter seseorang anak sehingga dia dewasa.
Maknanya, kita gagal dalam pembinaan karakter (character building), gagal dalam penerapan nilai murni untuk menjadi pegangan hidup. Dulu selepas peristiwa 13 Mei, ada Rukun Negara. Saya lihat Rukun Negara ini sangat cantik.
Pertama, kepercayaan kepada Tuhan. Kita gagal masukkan spirit kepercayaan. Perasaan sayang dan takut ALLAH. Tauhid dan takwa itu tapi kita gagal. Sistem keibubapaan dan pendidikan kita juga gagal. Jadi kita mudah terpengaruh dengan apa ada di luar. Jadi bila ada orang bagi duit, kita ambil. Sedangkan sepatutnya kalau nilai kita tinggi, kita tahu tanggungjawab, kita tak akan ambil duit itu.
Jadi kalau kita ada nilai tanggungjawab itu tetapi sekarang kerana kita terpengaruh dengan Barat yang sering bercerita tentang hak kemanusiaan (human right), sedangkan dalam al-Quran banyak menekankan soal tanggungjawab.
Kita gagal besarkan value tanggungjawab. Kerani di Jabatan Imigresen, tanggungjawab dia memudahkan orang ramai untuk mendapatkan atau memperbaharui pasport. Maknanya bila dia tahu kerja itu ibadah, dia akan bantu. Tetapi oleh kerana dia rasa bantuan yang dihulurkan itu jadi hak, dia akan minta ‘sesuatu’.
Lebih malang individu yang berurusan itu pula tidak sabar, tidak sanggup tunggu lama, dia sanggup ‘hulur’. Hulur, terima, hulur, terima. Lama-kelamaan ia akan jadi satu budaya, norma baharu. Di sinilah reput bermula.
Bila kerani itu menjadi pegawai, dia jaga lagi besar. Jadi dia minta lagi besar dan pelanggan yang memerlukan perkhidmatan akan hulur lebih besar. Jadi sistem itu akan berlaku di semua jabatan.
Oleh itu, orang politik yang sepatutnya ‘membersihkan’ aktiviti itu. Tetapi oleh kerana dia (orang politik) hendak naik pun, dia beli (undi). Sepatutnya pemimpin diangkat bukan seperti itu. Kita perlukan orang lebih baik daripada itu. Semuanya berbayar.
Selama 50 tahun ini, kita sudah membudayakan budaya membayar. Budaya ini bermula hanya dengan minum kopi, makan nasi dan selepas itu mahu itu, mahu ini sedangkan iman itu tidak ditambah nilai (upgrade), sentiasa menurun (downgrade) sebab sentiasa mewah.
Di mana kurangnya elemen kepimpinan yang menyebabkan kita menghadapi tahun 2020 dengan kebobrokan atau kerosakan kereputan ini?
Saya rasakan seorang pemimpin itu perlu ada satu visi yang jelas kenapa dia mahu jadi pemimpin. Adakah dia jadi pemimpin sebab mahu sumbangkan sesuatu kepada orang yang dipimpin.
Maknanya dia mahu tambah value kepada orang yang dipimpin. Kalau pemimpin syarikat, dia kena tambah value supaya syarikat yang dipimpinnya itu maju dan pekerja dapat faedah yang lebih.
Pemegang saham syarikat pun dapat keuntungan dan pembeli serta pelanggan dapat faedah. Jadi kalau dia betul-betul pegang tanggungjawab sebagai pemimpin, dia tahu tanggungjawab. Kena jaga semua kepentingan stakeholder.
Jadi apapun dia buat kena pastikan akhirnya reward yang diberikan memberi manfaat kepada keluarga dan akhirat. Ini sepatutnya yang perlu ada bagi pemimpin adil. Dalam ayat itu (surah An’am), pemimpin atau pemimpin kena ada keinsafan.
Kalau kita fikir tentang pengikut atau kroni kita tetapi tidak fikir tentang stateholder yang lain, termasuk ALLAH, jadi dengan sendirinya kita jadi pemimpin yang tidak adil, pemimpin yang rasuah dan zalim. Bagi saya rasuah bukan satu perbuatan yang keji tapi zalim.
Individu terlibat bukan menzalimi orang yang terkesan sebab perbuatan rasuah, sebaliknya dia turut menzalimi keluarga dan diri sendiri. Bila dia meninggal, sepatutnya dia boleh masuk syurga sebab kerja keras tetapi dia ambil rasuah dan bersekongkol dengan orang yang meluluskan kontena itu masuk walaupun tidak cukup syarat.
Dalam kontena itu pula ada daging tidak halal dan pemborong membelinya dan menjual pula.
Dalam surah al-An’am, bukan sahaja membicarakan mengenai pemimpin negara, namun pemimpin semua peringkat termasuk ketua keluarga. Ketua keluarga kena pastikan gaji yang mereka bawa pulang ke rumah itu halal.
Kini, sistem pegangan nilai moral bangsa sudah reput dan kita perlu buat sesuatu. Kita ini 50 ke 60 tahun sudah tukar Perdana Menteri dan kerajaan tetapi keadaan masih sama. Masalahnya bukan pada menteri tetapi individu.
Contoh saya akan pastikan diri tidak terlibat dengan salah guna kuasa atau rasuah, pastikan rezeki saya halal. Kita tidak boleh salahkan kerajaan, kena salahkan diri sendiri. Jadi apa yang boleh ubah, kita ubah. Kita perlu selamatkan anak cucu kita. Kalau dibiarkan dan harapkan sistem itu untuk ubah ketika pilihan raya, tidak boleh.
Dalam sistem pilihan raya itu sendiri, masih ramai yang menunggu untuk dibayar, menunggu upah kerja mengundi.
Jadi mulai sekarang semua orang kena ubah diri sendiri, keluarga, jabatan yang diselia. Insya-ALLAH dalam masa 10 hingga 15 tahun akan datang, satu generasi dilahirkan. Jadi, kalau mereka mahu jadi pemimpin, dia tidak perlu dibayar, tidak perlu cari duit haram.
Kita sudah mengajar anak kita untuk tolak rasuah, kena cari rezeki halal sekiranya mahu senang. Kena kerja kuat supaya rezeki diperoleh halal dan bila rezeki halal secara tidak langsung ia berkat.
Akhirnya memberi ketenangan dan tidak timbul masalah sosial. Jadi ia sebenarnya berbalik kepada individu itu sendiri. Sebagai umat Islam, kita ada al-Quran, kena faham serta amalkannya. Setiap ayah kena mengambil tanggungjawab ini. Kita yang perlu tanamkan takwa dan tauhid serta nilai murni dalam diri anak-anak.
Tanggungjawab mewarnai anak-anak adalah tanggungjawab ibu dan bapa. Cuma sebagai orang Islam, kita perlu berpandukan kepada kalam ALLAH, al-Quran.
Selama ini, kita tidak pedulikan semua itu. Semuanya bergantung kepada pembantu rumah dan guru di taska. Kita hanya sibuk mengejar kekayaan, sibuk nak pakai beg Louis Vuitton yang berbelas ribu sedangkan gaji suami hanya RM4,000 dan itu punca rasuah bila kita sering meminta daripada suami.
Ada individu berasa tertekan apabila melihat individu lain lebih kaya di media sosial. Komen Datuk?
Asas kena kuat. Ibarat macam pisau. Kita nak potong daging, bawang kena guna pisau. Jadi kita guna sosial media untuk cari ilmu yang bermanfaat. Tetapi kita hanya sibuk tengok apa Neelofa kata, kita sibuk pasal orang putus cinta.
Kita tidak sibuk tentang orang terputus bekalan beras, air bahkan ada yang meninggal pada pandemik Covid-19. Bagaimana sepatutnya kita gunakan (media sosial), semuanya terpulang kepada hati.
Bagaimana hati anak-anak dipersiapkan oleh ibu bapa Muslim dengan nilai yang ada dalam al-Quran. Bila sudah masuk dalam sistem itu, dia boleh ubah sistem kerana sudah ramai individu seperti dia. Kita lihat negara kita maju ketika 30 tahun dahulu kerana orang yang terlibat dalam sistem pentadbiran kerajaan ketika itu ialah mereka yang betul-betul ada ilmu, semangat serta integriti. Tetapi bila ada anasir jahat masuk ke dalam sistem ini, maka berlakunya keadaan sekarang.
Kita nampak kualiti orang politik ketika berdebat. Sepatutnya dalam Parlimen kena berhujah bukan bergaduh. Macam mana hendak memperbaiki negara. Kalau sistem tidak bagus, macam mana negara hendak maju. Kita lebihkan bertuankan party leader centric, daripada God centric.
Pandangan apa ibu ayah perlu buat? Kalau kita tinggal di rumah yang reput, kita akan reput sekali. Jadi kita kena bangkit. Kita hanya mengharapkan pemimpin yang perlu baiki kereputan itu. Namun, mereka turut sekali mereput.
Semua orang sekarang kena keluar, kena buat perubahan. Semua keluarga kena cari idea baharu sebab kita sudah bagi banyak peluang kepada orang lain untuk menguruskan hal itu tetapi mereka gagal. Berhentilah beri komen dan Facebook, selamatkanlah keluarga masing-masing. Kalau dia pemimpin, selamatkanlah komuniti masing-masing.
Negara kita diperintah oleh orang Melayu, kerajaan pimpinan Melayu, pegawai kerajaan polis, pegawai keselamatan kebanyakannya Melayu, Islam.
Saya rasakan untuk selamatkan negara ini, umat Islam kena berubah, perlu berpegang pada al-Quran kerana semua formula ada di situ. Apa yang kita perlu ialah baca dan faham isi kandungannya.
Carilah guru, cari ustaz belajar al-Quran dan amalkannya. Selamatkan keluarga, syarikat, komuniti dan negara kita. Tolak rasuah kerana semua orang kerja bersungguh-sungguh mengikut ajaran dalam al-Quran. Semua kena rajin bekerja, bangun pagi solat dan berdoa agar rezeki diterima halal selain selalu bersyukur.
Sekarang kereputan itu semakin parah dan contoh terdekat bila kita lihat pemimpin kita bergaduh sesama sendiri. Jadi kita (rakyat) perlu bangkit dan bukannya runtuhkan kerajaan.
Ekosistem yang ada sekarang perlu diubah dan ia bermula pada diri kita sendiri. Orang Islam perlu kembali kepada al-Quran, baca dan faham.