NEW YORK - Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volkan Bozkir menyatakan perasaan bimbangnya terhadap keganasan yang berlaku di bangunan Capitol, Washington DC pada Rabu.
"Amat bimbang dengan keganasan yang berlaku di Capitol di #WashingtonDC dan campur tangan proses demokrasi di negara yang menjadi tuan rumah kepada PBB," kata bekas menteri dari Turki itu.
Satu ciapan dari pejabat rasminya turut menyentuh kejadian itu.
"Amerika Syarikat (AS) merupakan salah sebuah (pengamal) demokrasi terbesar di dunia. Saya percaya keamanan dan menghormati proses demokrasi akan terus wujud di dalam negara tuan rumah kami pada waktu-waktu kritikal ini," katanya menerusi Twitter seperti dilaporkan oleh AFP.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres tidak memberikan komen tentang perlanggaran kawalan keselamatan di bangunan Capitol oleh para penyokong Presiden AS, Donald Trump itu.
Dalam kejadian itu, seorang penyokong wanita Trump mati ditembak di dalam bangunan Capitol, Washington ketika keadaan kelam-kabut berlaku disebabkan penyokong Trump melanggar kawalan keselamatan di bangunan tersebut.
Para penyokong AS itu menyerbu bangunan tersebut yang menempatkan Dewan Senat dan Dewan Perwakilan Amerika kerana mereka membantah keputusan kemenangan bekas Naib Presiden negara itu, Joe Biden daripada parti Demokrat sekali gus menewaskan Trump yang mewakili parti
Republikan dalam pilihan raya Presiden pada 3 November tahun lalu.
Keadaan tenang kembali semula di bangunan tersebut selepas pihak berkuasa AS melaksanakan perintah berkurung di bangunan berkenaan.
Dalam kejadian itu, wakil-wakil rakyat yang berada di dalam bangunan tersebut memakai topeng gas pemedih mata manakala para penunjuk perasaan memecahkan tingkap dan anggota-anggota polis terpaksa mengacukan senjata api kepada mereka bagi mengawal keadaan.
Suasana di luar bangunan tersebut juga kelihatan seolah-olah seperti satu rampasan kuasa atau kejadian ganas telah berlaku.
Dalam pada itu, Biden yang akan mengangkat sumpah jawatan Presiden pada 20 Januari tahun ini juga berkata:"Demokrasi kami kini diserang dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Kejadian di bangunan Capitol tidak menggambarkan Amerika yang sebenarnya. Ini bukannya penentangan tetapi
kekacauan. Ia mesti ditamatkan sekarang (Rabu)."
Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi berkata, wakil-wakil rakyat di dewannya akan menyambung pengiraan undi elektoral selepas proses mengiktiraf kemenangan Biden dihentikan apabila penyokong Trump menyerbu bangunan tersebut.
Pada Disember tahun lalu, sebuah badan pemilih iaitu Kolej Elektoral memihak kepada bekas Naib Presiden AS daripada parti Demokrat itu apabila beliau mendapat 305 undi elektoral manakala Trump daripada parti Republikan meraih sebanyak 232 undi elektoral. - Agensi