SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura sebagai memalukan.
Beliau berkata, tindakan terbaharu kerajaan telah menunjukkan sama ada ketidakfahaman berkenaan kepentingan projek tersebut ataupun ketidakcekapan ekonomi oleh pihak yang diberi kuasa untuk pembangunan negara.
Menurut beliau, kerajaan telah menggunakan jutaan ringgit dana awam untuk dibelanjakan dalam projek berkenaan termasuk bayaran pampasan sebanyak RM821 juta kepada Singapura seperti yang dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
"Kita seolah-olah sudah biasa membayar pampasan kepada Singapura. Pada tahun 2006, negara membayar RM270 juta kepada negara jiran kerana pembatalan 'jambatan bengkok' di tambak yang sekali lagi projek ditamatkan oleh Malaysia.
"Lupakan usaha dan perbelanjaan bertahun yang dihabiskan untuk merundingkan perjanjian rentas sempadan ini. Siri tindakan penamatan perjanjian ini memperlihatkan sikap yang memalukan dalam pengurusan dana negara kita oleh kepemimpinan pemerintah kita selama tempoh tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Projek kereta api laju HSR batal
Batal HSR: Pemuda UMNO minta penjelasan kerajaan
Katanya, pembatalan HSR ke Singapura jelas menunjukkan bahawa PN lebih mementingkan diri dengan mengutamakan pengekalan kuasa dan kepentingan kewangannya daripada bersikap seperti kerajaan yang memandu negara di tengah wabak dan cabaran ekonomi yang kritikal.
Tambah beliau, apa yang lebih membimbangkan ialah PN dilihat lebih bersedia untuk membazirkan wang bagi meneroka pembinaan HSR domestik yang berakhir di Johor Bahru.
"Dengan adanya landasan kereta api yang sudah ada oleh KTM, rancangan HSR baru ini akan menjadi gajah putih yang lain, yang menjadi bukti kepada kerajaan ini cenderung membazirkan dana awam.
"Sistem HSR yang berkesan dapat mewujudkan lebih banyak peluang untuk pelaburan langsung asing yang menarik yang kita perlukan dan mewujudkan kedudukan yang lebih baik untuk negara kita yang pada masa ini sangat penting,” katanya
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu memberikan jawapan yang jelas berkenaan isu pembatalan tersebut.
Katanya, kenyataan terbaharu daripada Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung yang menyatakan bahawa Malaysia ingin membuang Syarikat Aset (AssetsCo) sebagai bahagian asas perjanjian telah menimbulkan kebimbangan dan persoalan dalam negara.
Menurutnya, perjanjian tersebut juga menggambarkan teras integriti negara sebagai rakan dagang dan dua hala bukan hanya dengan Singapura tetapi juga dengan negara lain.
"Mengapa pemerintah PN menentang untuk mempunyai syarikat aset bersama yang mempunyai kemahiran yang kurang dimiliki oleh kedua-dua negara?
"Terutama jika kita dapat berunding untuk memastikan ia merangkumi tujuan meningkatkan kapasiti dan kemampuan teknikal syarikat tempatan kita sendiri, memberikan pertumbuhan untuk mereka, dan pekerjaan jangka panjang bagi rakyat Malaysia?
"Melakukannya secara bersama dengan Singapura akan memastikan tidak ada pihak yang dapat menyalahgunakan proses tersebut dan menciptakan ketelusan untuk rakyat.Mungkin inilah sebabnya,” katanya.
Dengan mengambil kira perkara tersebut, Anwar berkata, beliau yakin bahawa pembatalan tersebut adalah langkah yang salah baik dari sudut ekonomi semasa dan kebaikan masa depan.
Menurutnya, kos pembatalan yang ditanggung kerajaan akibat pembatalan projek tersebut juga dilihat tidak masuk akal jika dibandingkan dengan kos dana untuk meneruskan projek berkenaan.
"HSR ke Singapura akan secara signifikan membuka peluang ekonomi untuk Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Kawasan Parlimen saya di Port Dickson misalnya menyaksikan sejumlah besar pelancong Singapura semasa cuti.
"Perniagaan akan lebih bersedia untuk membuat operasi pembuatan bernilai tinggi di sini dan sepanjang garis yang dirancang,” katanya.