PETALING JAYA - Kumpulan LBS Bina Group mensasarkan jualan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun ini walaupun negara sedang berdepan pelbagai cabaran khususnya pandemik Covid-19.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya tidak mahu terlalu optimis berhubung sasaran itu, namun yakin angka tersebut dapat dicapai menerusi pelancaran beberapa projek baru oleh syarikat berkenaan pada tahun ini dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.65 bilion.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran pasaran semasa, namun pihaknya telah menyesuaikan diri dengan normal baharu dan mengubah strategi menerusi platform digital.
"Dalam berhadapan dengan teknologi berkembang pesat, platform digital LBS sentiasa bersedia dan pasukan pemasaran berupaya berhubung dengan pembeli," katanya pada Majlis Penerangan Media yang berlangsung di Ibu Pejabat LBS pada Rabu.
Buat masa ini,Hock San berkata, LBS mempunyai 19 projek yang sedang dibangunkan di Lembah Klang dan beberapa negeri lain dengan anggaran GDV berjumlah RM4.95 bilion.
Menurutnya, pembangunan sekitar Lembah Klang merangkumi fasa baru di perbandaran KITA@Cybersouth di Dengkil terdiri daripada pembinaan beberapa projek seperti KITA Sejati, KITA Mekar dan KITA Mesra.
"Sementara fasa baru di bandar LBS Alam Perdana, Bandar Puncak Alam pula meliputi pembinaan projek Ritma Perdana dan Melodi Perdana,” katanya.