Dua ekor penyu ditemui mati di perairan Port Dickson

Iklan
Penyu berusia lebih 20 tahun ditemui mati di pantai Port Dickson. Foto: FB Jabatan Perikanan Negeri Sembilan

PORT DICKSON - Dua ekor penyu spesies agar dan karah berusia lebih 20 tahun ditemui mati di perairan Port Dickson dalam tempoh kurang dua minggu.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, penyu agar dianggarkan seberat 120 kilogram itu ditemui di Pantai Teluk Kemang, manakala penyu karah seberat 69 kilogram ditemui di Batu 10 di sini.

Iklan
Iklan

"Seekor dijumpai pada 27 Disember lepas dan seekor lagi pada Selasa. Keadaan bangkai sudah reput teruk dan penyebab kematian tidak dapat dipastikan.

"Pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada penyu berkenaan dan kita tidak pasti punca kematiannya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, reptilia marin terancam itu wujud dalam populasi yang sedikit di Negeri Sembilan dan penting untuk dipelihara.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya prihatin dengan tidak mengganggu penyu itu terutama jika menemuinya sedang naik ke pantai untuk bertelur dan tidak mengambil telurnya.

Iklan

"Sabit kesalahan atas perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh dikenakan denda maksimum RM 20,000 atau penjara maksimum 2 tahun atau kedua-duanya di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985.

"Kita sangat berharap orang ramai yang menjumpai penyu mati atau cedera untuk hubungi talian 06-6472050 atau 06-6621089 atau menghantar mesej di laman rasmi Facebook Jabatan Perikanan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut," katanya.