JELEBU - Gara-gara memukul pekerja stesen minyak, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Jelebu di sini pada Khamis.
Muhamad Hidir Malik, 38, dijatuhi hukuman berkenaan oleh Majistret Khir Nizam Jemari selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.
Tertuduh didakwa mencederakan seorang pekerja stesen minyak di Taman Sri Chempedak, Kuala Klawang pada 19 Disember lalu.
Mengikut pertuduhan, dalam kejadian pada jam 4.30 petang, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Mohamad Aiman Nasir Abdullah, 20, dengan menggunakan topi keledar.
Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai penunda kenderaan datang ke stesen minyak itu untuk mengisi minyak motosikal.
Bagaimanapun, berlaku sedikit tumpahan minyak pada motosikal menyebabkan tertuduh memarahi pengadu dan kemudian memukulnya menggunakan topi keledar di kepala sebanyak satu kali.
Tertuduh turut memukul pengadu menggunakan tangan pada bahagian muka sebanyak satu kali sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.
Terdahulu, media melaporkan kejadian itu selepas video kejadian tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan netizen yang mahu pelakunya segera ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.