SHAH ALAM - Sebuah syarikat kerja-kerja logam didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana kesalahan melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawaian ke perairan pendalaman, Februari tahun lepas.
Hakim, Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas syarikat Omega Metal Sdn Bhd selaku orang kena saman (OKS) diwakili pengarahnya, Chang Poay Hee mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibuat mengikut Peraturan 11(1)(a), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
Rofiah dalam penghakimannya berkata, selepas meneliti hujah pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mengenakan jumlah denda berkenaan memandangkan syarikat itu telah melakukan usaha untuk mengelakkan kesalahan sama berulang.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawaian Standard A iaitu kandungan pepejal terampai dengan kepekatan 2,660 miligram per liter (mg/l) melebihi 50mg/l dibenarkan; besi pada kepekatan 20mg/l berbanding kadar satu mg/l dibenarkan dan zink pada kepekatan 15mg/l berbanding dua mg/l dibenarkan.
Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan itu di Taman Industri Integrasi Rawang pada 3 Februari tahun lepas.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Ir Zulaikha Mokhtar memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya terhadap syarikat berkenaan memandangkan kesalahan yang dilakukan melibatkan kepentingan awam.
"Satu hukuman yang sewajarnya perlu dikenakan ke atas syarikat ini kerana ia melibatkan pelepasan logam berat seperti besi dan zink yang diketahui sangat berbahaya kepada alam sekitar dan kesihatan awam.
"Laporan kimia menunjukkan terdapat pelanggaran melebihi 100 peratus bagi parameter berkenaan," katanya.
Peguam syarikat itu, Tan Shao Jia memohon mahkamah meringankan hukuman memandangkan ia adalah kesalahan pertama syarikat berkenaan sejak mula beroperasi pada 2002.
Shao Jia berkata, anak guamnya juga telah menubuhkan makmal dalaman selain mengupah kakitangan berpengalaman dan kompeten untuk mengawasi pelepasan efluen kilang itu agar kesalahan berkenaan tidak berulang. - Bernama