GEORGETOWN- DAP memberi peringatan kepada bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa agar tidak mengheret parti itu dalam permasalahan yang berlaku dalam UMNO pada ketika ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Annuar tidak sepatutnya mereka-reka cerita kononnya berlaku kerjasama antara DAP dan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu.
Beliau turut menempelak Annuar dengan menggelarnya sebagai lidah biawak kerana mendakwa Ahli Parlimen Ketereh itu bercakap tidak benar selain mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan.
"Saya ingin tegaskan di sini, apa yang dinyatakan oleh Annuar adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas. Sebarang perbincangan membabitkan kerjasama politik mesti akan melibatkan Setiausaha Agung DAP iaitu saya. Bagaimanapun, ia tidak pernah berlaku," katanya.
Guan Eng bagaimanapun berkata, beliau lebih banyak berbual dengan Annuar kerana kapasiti sebagai menteri berbanding berbual dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Kita tidak pernah berbual atau berbincang apa-apa mengenai parti pun. Jadi, bagaimana beliau boleh kata ada kerjasama (DAP) dengan UMNO kerana tidak dibincangkan dengan saya?" katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di sini pada Khamis.
Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu turut mengingatkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu agar tidak mempergunakan DAP untuk menyelamatkan karier politiknya.
"Annuar seorang ahli politik yang tidak berwibawa dan tidak ikhlas. Beliau jelas menggunakan DAP untuk menyelamatkan karier politiknya.
"Saya melihat Annuar mahu menjual UMNO untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tapi jika mahu melakukan perkara itu sekali pun, jangan perdagangkan DAP kerana kita tidak terlibat langsung. DAP tidak tahu apa-apa," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN UMNO bekerjasama dengan DAP untuk bentuk kerajaan baharu, kata Annuar
Annuar dedah pemimpin UMNO keluar surat sokongan kepada Anwar
Kerjasama UMNO-DAP: Najib nafi dakwaan Annuar
Beliau turut mengingatkan Annuar agar tidak lagi melibatkan DAP dalam permasalahan politiknya yang berlaku pada ketika ini.
"Sekali lagi, DAP tidak tahu apa-apa dalam hal ini, malah kerjasama antara UMNO pula, tidak pernah dibincangkan. DAP juga tidak berminat dengan isu dalaman yang berlaku UMNO pada ketika ini.
"Jadi, kenapa nak kaitkan DAP dalam hal ini. Ia jelas satu tindakan tidak berprinsip," katanya.
Terdahulu, Annuar mendedahkan bahawa UMNO kini bersiap untuk bekerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan baharu.
Beliau mengesahkan bahawa ahli parti itu telah bertemu dengan pemimpin DAP untuk membincangkan perkara tersebut.
Annuar berkata demikian dalam satu sidang akhbar pada Rabu selepas Ahmad Zahid mengumumkan Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu diumumkan dalam ucapan semasa perjumpaan khas dengan Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.