JITRA -"Setiap kali ke hospital untuk rawatan susulan kanser, kami sengaja tidak menggunakan jalan melalui Sekolah Kebangsaan (SK) Jitra 2 kerana Muhammad Danial, 9, akan teringat sekolahnya dan dia mahu pergi ke sekolah," kata ibu, Azlina Abdul Aziz, 29 ketika ditemui di rumahnya Taman Kenanga dekat sini pada Selasa.
Anak sulung daripada dua beradik itu dikesan menghidap penyakit kanser otak tahap empat pada Julai lalu dan bakal menjalani kemoterapi kali kedua pada Khamis di Hospital Pulau Pinang jika keadaan badannya mengizinkan.
Azlina yang juga suri rumah berkata, anaknya itu pernah menyuarakan hasrat untuk ke sekolah pada Disember tahun lalu sedangkan waktu itu masih cuti sekolah.
"Mungkin dia teringat dan teringin ke sekolah berjumpa kawan-kawan sebab selepas Julai tahun lalu masanya banyak dihabiskan berulang alik ke hospital sahaja.
"Bagi tahun 2021 pula, dia (Muhammad Danial) juga mungkin belum dapat ke sekolah kerana masih lagi dalam rawatan kemoterapi selain badannya yang lemah," katanya ketika ditemui semasa menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Zon Utara, Zamzuri Mansor.
Bapa Muhammad Danial, Mohd Nasri Juwanda, 30, pula berkata, keadaan anaknya lemah selepas sesi kemoterapi kali pertama pada 23 November tahun lalu dan dia hanya berehat di atas katil.
"Selepas kimoterapi pertama, dia tidak lalu makan dan keadaannya sedikit lemah tapi semangat Muhammad Danial untuk sembuh tinggi. Pernah dia sebut teringin hendak bermain basikal tapi keadaan badannya yang lemah menyebabkan kami tidak membenarkannya.
"Kami mengharapkan doa orang ramai agar sesi kemoterapi ini akan memberikan kesan positif dan berharap dia mampu bertahan untuk menghabiskan tujuh sesi kemoterapi lagi. Berat badannya juga turun sekilogram kepada 19 kilogram," katanya.
Mohd Nasri berkata, kisah anaknya yang disiarkan oleh Sinar Harian pada 22 November tahun lalu tular dan mereka sekeluarga menerima banyak panggilan dari seluruh negara yang memberikan sokongan moral serta sumbangan untuk membiayai kos perubatan Muhammad Danial.
"Saya juga ada terima panggilan dari Singapura yang memberikan kata-kata semangat termasuk memberikan sumbangan. Kami terharu kerana ramai yang prihatin dan memberikan sokongan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Disangka gastrik rupanya kanser otak tahap empat
Jelasnya, Muhammad Danial turut menerima bantuan bulanan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 dan wang itu sedikit-sebanyak meringankan beban mereka sekeluarga selepas dirinya banyak mengambil cuti tanpa gaji bagi menguruskan anaknya yang sering 'berkampung' di hospital.
Sementara itu, Zamzuri berkata, sumbangan seperti keperluan dapur, rumah dan kelengkapan persekolahan kepada keluarga Muhammad Danial melalui dana Econsave Prihatin bagi tahun 2021 zon utara dengan nilai sumbangan sebanyak RM1,000 diharapkan mampu menceriakan keluarga tersebut.
"Kami berharap sumbangan ini akan memberikan semangat kepada keluarga Muhammad Danial dan kita mendoakan semoga adik ini akan cepat sembuh dengan segera. Malah semangat Muhammad Danial untuk kembali sihat juga sangat kuat,"k atanya.