Bomba kerah anggota, aset jika banjir kritikal

Iklan
Muhammad Hamdan (kanan) mendengar taklimat operasi banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi pada Khamis.

KOTA TINGGI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengerahkan anggota dan aset logistik seluruh negara ke negeri yang terjejas seperti Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Perak sekiranya banjir ketika ini semakin kritikal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Muhammad Hamdan Wahid berkata, anggota dan aset JBPM setakat ini mencukupi iaitu seramai 12,500 anggota daripada 320 balai bomba di seluruh negara.

Iklan
Iklan

"Jika keadaan bencana banjir semakin kritikal, JBPM akan mobilisasi anggota dan aset dari negeri tidak terjejas seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya ke negeri terjejas banjir.

"Pelatih dan aset daripada akademi bomba juga akan dimobalisasi bagi membantu negeri terjejas banjir. Pencatuan cuti anggota bomba juga akan dilaksanakan di mana 10 hingga 20 peratus sahaja akan dibenarkan bercuti, itu pun akan digilirkan," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama,Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Muhammad Hamdan berkata, JBPM memiliki sebanyak 250 hingga 290 aset darat seperti lori dan kenderaan pacuan empat roda, selain 450 aset marin seperti bot dan lima buah helikopter.

Iklan

"Apabila aset dari negeri lain digerakkan, JBPM akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Angkatan Pertahanan Awam ( APM), polis dan Angkatan Tentera Malaysia ( ATM)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga kini banjir di enam negeri Terengganu, Pahang, Johor, Kelantan, Perak dan Sabah membabitkan 20 daerah dengan 410 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di seluruh Malaysia.

"Seramai 36,424 mangsa daripada 9,620 keluarga ditempatkan di PPS dan enam kematian di Pahang dan Johor," katanya.