Amanah jaga kesihatan

Iklan
MOHD KHAIRIL ANWAR

SHAH ALAM - Islam menyarankan umatnya sentiasa menjaga tubuh badan serta mengamalkan cara hidup yang sihat.

Kaunselor Institut Jantung Negara (IJN), Ustaz Mohd Khairil Anwar berkata, kehidupan sihat itu juga adalah satu amanah dalam hubungan manusia dengan ALLAH SWT.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menjaga kesihatan juga dikira amal soleh kerana ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya agak memberikan hak kepada tubuh badan mereka.

"Amal soleh ini perlu ditambah dengan dua syarat iaitu ikhlas dan mengikut sunah Rasulullah dan ia tidak terhenti kepada solat, puasa dan zakat semata-mata. Apa sahaja amalan yang ikhlas, tidak mensyirikkan ALLAH dan mengikut sunah termasuk dalam amal soleh.

Iklan

"Barang siapa menjaga badan daripada penyakit, maka ia mendapat balasan pahala daripada ALLAH kerana telah memberikan hak badannya kepada diri mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Al-Quran siri ke-57 bertajuk ‘Bina Jiwa dan Jasad Sihat’ yang diadakan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Fazrul (kiri) bersama Kevin (dua dari kiri), Ustaz Mohd Khairil Anwar (dua dari kanan) dan Ustaz Ahmad Tirmizi (kanan) ketika program program Wacana Al-Quran siri ke 57 bertajuk ‘Bina Jiwa dan Jasad Sihat’ yang diadakan secara lansung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, pada Selasa. (FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR)

Iklan

Program itu turut menampilkan Pengerusi Pertubuhan Pencegahan Obesiti Dewasa dan Kanak-Kanak Malaysia, Kevin Zahri selaku panelis, sementara Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah (WUIF), Fazrul Ismail sebagai moderator dan turut ditemani qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah An-Nahl ayat 97.

Mohd Khairil berkata, umat Islam perlu mengambil pengajaran daripada kisah Abu Darda’ yang terlalu melakukan amal soleh tanpa henti hingga mengabaikan kewajipan kepada keluarga dan sebagainya.

"Diriwayatkan dari A'un bin Abi Juhaifah bahawa Rasulullah SAW mempersaudarakan antara Salman dan Abu Darda'. Suatu ketika Salman melawat Abu Darda' dan melihat isterinya, Ummu Darda' dalam keadaan bersedih lalu Salman bertanya kepadanya: Kenapa dengan kamu?

"Lalu ia menjawab ‘Saudaramu Abu Darda' tidak mahukan dunia. Kemudian Abu Darda' menghidangkan makanan lalu Salman menjemput Abu Darda' makan bersama lalu dia menjawab ‘aku berpuasa’. Salman berkata, ‘aku tidak akan makan sehingga engkau makan bersama lalu ia makan bersama’.

"Apabila malam menjelang, Abu Darda' bangun beribadah lalu Salman berkata, pergilah tidur lalu dia tidur. Kemudian dia bangun beribadah semula, lalu Salman sekali lagi menyuruhnya tidur. Apabila di akhir malam Salman mengejutkannya mengajak bersolat dan kedua-duanya bersolat.

"Setelah itu Salaman berkata kepadanya, ‘sesungguhnya engkau mempunyai kewajipan terhadap Tuhanmu dan engkau juga mempunyai kewajipan terhadap dirimu dan engkau juga mempunyai kewajipan terhadap keluargamu. Maka tunaikanlah hak kepada setiap yang berhak'." katanya.

Ujar Mohd Khairil lagi, dalam konteks melaksanakan ibadat solat misalnya, semestinya tubuh badan sihat membolehkan seseorang itu berupa melaksanakan solat yang dituntut dengan lebih sempurna.

"Ada kajian dibuat menyatakan pergerakan dalam solat memberi kesihatan kepada umat Islam. Sebenarnya solat ini bukan untuk sihat, sebaliknya ia satu kewajipan kerana ia merupakan hubungan kita dengan ALLAH.

"Kalau kehidupan kita tidak dihubungkan secara spiritualnya kepada ALLAH, maka ia tidak akan membina kehidupan yang baik kerana kehidupan yang baik ini bukan sahaja kesihatan. Ada ulamak berpendapat rezeki halal, iman yang sempurna juga kehidupan yang baik.

"Apabila kita melaksanakan perintah atau hak ALLAH, maka ALLAH akan bagi kita kehidupan yang baik di dunia dan akhirat. Mesti solat dulu, baru berikutnya minta kesihatan kepada ALLAH. Bukan solat hendak sihat tetapi mahu kehidupan lebih baik dan kehidudan lebih baik adalah sihat,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya umat Islam inginkan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat, mereka perlu beriman kepada ALLAH dan Rasul.

"Orang yang inginkan kehidupan yang baik termasuk kesihatan, jiwa, spiritual, mental dan sebagainya, apapun syaratnya mesti kembali kepada ALLAH SWT, beriman kepada-Nya dengan tauhid yang benar serta beramal soleh.

"Dengan cara ini, ALLAH SWT akan memperelokkan kehidupan kita di dunia dan akhirat,” katanya.