Rumah runtuh: 66 penghuni berhampiran diarah pindah

Iklan
Keadaan semasa rumah yang runtuh dalam kejadian pada 3 Januari lalu.

KUANTAN - Penghuni 66 unit rumah di Taman Gambang Damai di sini diarahkan berpindah pada Khamis sebagai langkah berwaspada selepas dua rumah di situ runtuh akibat pergerakan tanah pada Selasa lepas.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda berkata, mereka terdiri daripada pemilik rumah yang terletak dalam lingkungan 100 meter dari lokasi kejadian.

Iklan
Iklan
ABD RAHIM

Menurutnya, arahan berpindah bagi fasa kedua dan ketiga itu menjadikan keseluruhan 94 rumah yang diarahkan berpindah sejak fasa pertama membabitkan 18 rumah pada 3 Januari lalu.

"Kesemua penduduk terlibat diminta berpindah ke sebuah resort berhampiran dengan bantuan pemaju, selain ada yang memilih menumpang rumah saudara atau menyewa di kawasan perumahan berhampiran.

Iklan

"Berdasarkan situasi semasa, sebanyak 28 rumah berada di garisan runtuhan dan empat rumah lagi ditandakan sebagai paling berisiko.

"Kita bimbang akan berlaku hakisan tanah runtuh kerana ketika ini masih hujan. Berdasarkan semakan awal didapati kedudukan tanah yang lemah disebabkan air dalam tanah menjadi faktor utama runtuhan," katanya pada sidang akhbar di Taman Perumahan Gambang Damai di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ahli Parlimen Paya Besar yang juga Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman.

Dalam pada itu, Abd Rahim berkata, penduduk di kawasan berdekatan tangki air perumahan tersebut juga telah diminta berpindah kerana terdapat hakisan tanah baharu.

"Kerajaan negeri menempatkan Pakar Cerun dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk terus membuat pemantauan semasa bersama pasukan keselamatan," katanya.

Taman Perumahan Gambang Damai mula diduduki sejak 2015 menempatkan beberapa jenis rumah antaranya Pesona Sepanyol, Pesona British dan lain-lain.

Sejumlah 233 unit rumah dibina di kawasan tersebut dengan 195 unit setingkat dan 38 unit dua tingkat dengan jumlah penduduk dianggarkan 500 orang.

Rumah yang runtuh beralamat di Nombor 37 dan 39 Lorong 29, Taman Gambang Damai jenis Pesona Sepanyol.