Kongres AS sahkan kemenangan Joe Biden, Kamala Harris

Iklan
Sesi bersama Dewan Perwakilan dan Senat AS yang dipengerusikan Pence kembali bersidang selepas rusuhan ganas menggemparkan Capitol di Washington pada Rabu. - Foto: AFP

WASHINGTON - Kongres pada Khamis secara rasmi mengiktiraf kemenangan Joe Biden sekali gus membuka jalan kepada pelantikan bakal Presiden ke-46 AS dan bakal Naib Presiden, Kamala Harris pada 20 Januari depan.

Keputusan itu dibuat selepas Naib Presiden, Mike Pence mengesahkan kiraan 306 Undi Elektoral yang berpihak kepada Demokrat berbanding 232 diraih Donald Trump yang mewakili Republikan di kesemua 50 negeri di AS.

Iklan
Iklan

Terdahulu, sidang debat bersama Dewan Perwakilan dan Senat AS itu terpaksa ditangguhkan selepas penyokong pro-Trump bertindak ganas menyerbu masuk bangunan Capitol terbabit.

Selain itu, ketegangan juga tercetus apabila cubaan beberapa anggota Republikan menolak kiraan Undi Elektoral Pennsylvania yang bertukar tangan kepada Demokrat dan usaha untuk mencabar kemenangan Biden di Arizona ditolak Kongres.

Iklan

Beberapa minit selepas Kongres membuat keputusan itu, Trump yang bakal menamatkan penggal pemerintahannya dalam tempoh dua minggu lagi memberi isyarat jelas bahawa beliau akan meninggalkan Rumah Putih secara sukarela pada 20 Januari depan.

"Akan berlaku peralihan kuasa secara teratur walaupun saya sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020 tersebut.

Iklan

"Ia adalah permulaan kepada perjuangan Make America Great Again walaupun ini adalah pengakhiran kepada penggal pertama presiden paling hebat dalam sejarah negara ini,” katanya. - AFP