SIBU - Sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang akan diraikan pada 12 dan 13 Februari ini, empat persatuan Cina di Sibu menggesa kerajaan negeri mengetatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) tempoh perayaan itu untuk membendung penularan Covid-19.
Akan ada peningkatan pergerakan dan peluang kes untuk melonjak adalah tinggi, kata Persatuan Pemimpin Komuniti Cina Bahagian Sibu (CCLA); Persatuan Cina Bersatu (UCA), Sibu; Persekutuan Persatuan-Persatuan 7 Klan dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI).
Pengerusi CCLA Bahagian Sibu, Datuk Vincent Lau Lee Ming berkata, peningkatan kes ketika ini di seluruh negara disebabkan pematuhan SOP yang lemah susulan peningkatan perjalanan dan perhimpunan sosial sepanjang tempoh Krismas dan Tahun Baharu.
"Ramai yang tidak sabar dan merancang untuk pulang dari luar negara untuk berkumpul bersama keluarga semasa Tahun Baharu Cina.
"Perjalanan antara negeri dan daerah dijangka meningkat. Amalan tradisi seperti kunjung-mengunjung dan majlis perjumpaan anjuran persatuan Cina pasti akan meningkatkan kadar jangkitan,” katanya pada sidang akhbar bersama persatuan berkenaan di sini pada Khamis.
Selain mengetatkan SOP, kerajaan juga perlu mengenakan sekatan perhimpunan sosial dan menguatkuasakan pengasingan 14 hari di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk semua termasuk pemimpin politik dan VVIP yang memasuki negeri ini, katanya.
"Adalah diharap pemimpin politik kita akan menetapkan contoh yang baik dan mengambil inisiatif mematuhi sepenuhnya SOP dan kuarantin diri, terutama jika mereka kembali ke Sarawak dari zon merah Covid-19,” katanya.
Persatuan itu juga menasihatkan mereka yang bekerja atau belajar di luar Sarawak untuk kekal di tempat masing-masing, dengan berkata ini adalah langkah terbaik untuk mencegah penyebaran virus itu dan melindungi keluarga dan sahabat mereka.
"Sebaliknya, kekal berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan melalui telefon, internet dan rangkaian media sosial,” kata Lau.
Tambahnya, lawatan dan perhimpunan sosial perlu dihadkan dan semua orang perlu digalakkan untuk terus berada di rumah dan mematuhi SOP. - Bernama