KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan 66 kes baharu Covid-19 pada Khamis menjadikan ia kes harian tertinggi pernah dicatatkan di negeri ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) melalui laman sosial rasmi Facebook miliknya memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari, kes baharu tersebut melibatkan 56 kes tempatan dan 10 kes Import B.
Angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Kelantan ialah sebanyak 1,085 kes.
Kes tersebut adalah 18 kes baharu di Bachok, Kota Bharu (12), Tumpat (10), Pasir Puteh (lapan), Machang (tujuh), Tanah Merah (empat), Kuala Krai (tiga), Pasir Mas (tiga) dan satu kes di Gua Musang.
Ringkasan kes baharu ini adalah 45 kes kontak rapat kes positif, tujuh kes kontak rapat kluster Paloh, empat kes Saringan Berisiko dari zon merah, tiga kes kontak rapat kluster belukar dan dua kes Saringan Survelan (Klinikal Covid-19).
Sementara itu, dua kes Saringan Survelan (ILI) dan masing-masing satu kes melibatkan kontak rapat kluster Pintu Geng, Kluster Halban dan satu kes saringan petugas kesihatan.
Sembilan kes tamat tempoh pemantauan 14 hari iaitu dua kes tempatan di Mukim Bekelam, Bachok, satu kes tempatan di Mukim Bandar Kota Bharu, satu kes tempatan di Mukim Kemumin, satu kes tempatan di Mukim Panji, satu kes tempatan di Mukim Salor, satu kes tempatan di Mukim Wakaf Bharu, satu kes import B di Mukim Batu Mengkebang dan satu kes import B di Mukim Kubang Sepat, Pasir Mas.
Bilangan zon merah ialah Kota Bharu dan Tumpat dan zon jingga pula Kuala Krai, Pasir Mas, Machang dan Bachok.
Zon kuning melibatkan daerah Pasir Puteh, Tanah Merah dan Gua Musang manakala hanya Jeli berada di zon hijau.
Jumlah kes dalam rawatan ialah sebanyak 377 kes yang mana tujuh kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
JKNK turut menasihatkan orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat.