Beliau berkata, semua pihak sepatutnya bersikap lebih rasional dengan melihat secara keseluruhan dan bukannya membanding-bandingkan jumlah diberi sehingga menimbulkan salah tafsir.
"Kita kena tengok jumlah murid yang ada. Di Sekolah Tinggi Chung Hua di Seremban mempunyai 2,800 pelajar sedangkan sekolah tahfiz dan pondok yang ada di Negeri Sembilan ini pula, keseluruhan pelajarnya hanya 2,000.
"Mana-mana bantuan pun kita bagi secara perkapita, ikut bilangan murid. Kalau semua sekolah dapat jumlah bantuan yang sama ia tak adil, kena ikut kesesuaian dan keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita bagi mengulas dakwaan yang mengatakan kerajaan negeri lebih mengutamakan sekolah Cina apabila menyerahkan jumlah sumbangan lebih tinggi berbanding sekolah lain.
Terdahulu beliau hadir pada Majlis Penyerahan Bantuan Projek Madrasah Impianku anjuran kerjasama MyCARE dan Econsave di pasar raya Econsave di Forest Height di sini.
Sementara itu ditanya jumlah purata murid bagi satu sekolah tahfiz, beliau berkata, jumlah itu tidak menentu ada yang beratus dan ada hanya mempunyai empat pelajar.
Aminuddin berkata, daripada 39 sekolah tahfiz di negeri ini, hanya sembilan belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
"Sembilan ini dalam proses pendaftaran dan antara masalah dihadapi oleh mereka ialah isu tanah dan kurang arif soal perjanjian.
"Kerajaan negeri akan bantu untuk permudahkan urusan pendaftaran, tetapi kita akan tetap ikut prosedur supaya tak timbul masalah pada masa depan,” katanya,
Dalam pada itu, beliau menggalakkan pihak swasta untuk membantu pembelajaran dan pembangunan infrastruktur sekolah tahfiz dan pondok.