PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis menangguhkan keputusannya berhubung persoalan Perlembagaan yang dikemukakan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kesahan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.
Panel tujuh hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Vernon Ong Lam Kiat berkata, mahkamah itu akan CAV (curia advisari vult) isu itu dan akan memaklumkan pihak-pihak terlibat selepas mahkamah bersedia dengan tarikh keputusan.
Hakim lain dalam panel itu ialah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.
Prosiding dijalankan dalam talian yang mana kesemua tujuh hakim serta beberapa pegawai mahkamah berada di mahkamah terbuka sementara peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar dan Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan serta S Narkunavathy bagi pihak MKN dan kerajaan, tampil secara maya.
Mahkamah mendengar semula kes itu selepas ia, pada 10 September tahun lalu, membenarkan permohonan semakan kehakiman Anwar untuk mengetepikan keputusan majoriti pada 11 Februari yang enggan menjawab persoalan perlembagaan berhubung kesahan akta tersebut.
Terdahulu, Sri Ram menghujahkan bahawa Akta MKN yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2016 tidak berperlembagaan kerana merampas beberapa hak asas yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Beberapa aspek Akta MKN menggugurkan hak kepada kebebasan hidup dan peribadi, kebebasan bergerak, kebebasan memiliki hartanah, kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan,” katanya.
Peguam itu berkata, Akta MKN juga tidak berperlembagaan kerana tidak menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong.
"Akta ini batal dan tidak sah kerana Agong tidak memberikan perkenan. Fungsi memperkenankan rang undang-undang oleh Yang di-Pertuan Agong merupakan kuasa eksekutif dan Seri Paduka mesti bertindak atas nasihat Kabinet atau seorang menteri,” katanya, menambah akta itu tidak menyebut Parlimen menggubalnya menurut Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, yang mana hak asas boleh dirampas.
Suzana pula menghujahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menggunakan budi bicara dalam memberi perkenan kepada akta kerana Seri Paduka merupakan Raja Berperlembagaan dan perlu bertindak atas nasihat Kabinet dan menteri.
Pada 11 Februari tahun lepas, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 enggan menjawab persoalan perlembagaan yang dibangkitkan Anwar mengenai Akta MKN dan memutuskan bahawa ia tidak ditunjukkan kewujudan akta tersebut mengganggu kehidupan peribadi Anwar.
Anwar kemudian memfailkan semakan kehakiman.
Beliau memfailkan saman pemula pada 2016 untuk mencabar kesahan Akta MKN dengan mendakwa pelaksanaannya tidak berperlembagaan dan menamakan MKN serta kerajaan selaku defendan.
Pada 14 Mac 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Anwar mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan Perlembagaan. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Cabar Akta MKN: Mahkamah Persekutuan enggan jawab soalan Anwar