Suasana pilu iringi pengebumian tiga sekeluarga

Iklan
Ketiga-tiga jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Tong Pelu, Pedu, Kuala Nerang. -FOTO ZAINAL AZIZ MD ZAIN
KUALA NERANG - Tiga sekeluarga yang mati lemas di Sungai Pedu selamat disemadikan di dalam liang berasingan dalam satu lubang di Di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Tong Pelu, dekat sini pada kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Suasana pilu mengiringi pengebumian jenazah Mad Ramli Ibrahim, 65, bersama dua cucunya iaitu Nur Safia Hafiza Samsudin, 16, dan Nur Sariza Hafniza Samsudin,14.

Sebelum itu ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di Masjid Jamiul Khir Tong Pelu, Pedu bersama kira-kira 500 penduduk kampung.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Jamiul Khir Tong Pelu, Pedu bersama kira-kira 500 penduduk kampung yang diimamkan imam dari Langkawi. - FOTO ZAINAL AZIZ MD ZAIN

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Lemas: Seorang meninggal, dua lagi hilang

Pada jam 1.45 petang semalam, empat mangsa telah dibawa oleh arus Sungai Pedu di Rumah Pam, Kampung Bukit Sena, namun seorang dari mereka, Anis Umairah Mohd Ismail berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.

Iklan

Mangsa pertama, Nur Sariza ditemui pada jam 2.26 petang diikuti kakaknya, Safia Hafiza pada jam 4.36 petang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah, jenazah Mad Ramli pula ditemui pada jam 5.22 petang dalam radius 100 meter dari tempat mereka dilihat lemas.

Iklan

Kejadian tersebut dipercayai berlaku berpunca dari arus sungai yang deras itu selepas pintu empangan dibuka.

Pihak Bomba terpaksa meminta kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk menutup pintu empangan pada pukul 3 petang untuk operasi pencarian.