[EKSKLUSIF] ‘Tiada sesiapa paksa saya letak jawatan’

Iklan
Ahmad Jazlan

[MUKADIMAH] Selepas 12 daripada 13 UMNO Bahagian di Kelantan sebulat suara mengemukakan usul mendesak parti memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kemudiannya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Isnin.

Ada pendapat mengatakan tindakan Ahmad Jazlan itu sebagai isyarat jelas UMNO kini menolak Bersatu yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Iklan
Iklan

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Nurul Riduan Nor Ashaha bersama Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang pada Rabu bagi merungkaikan punca sebenar peletakan jawatannya itu.

SINAR HARIAN: Keputusan Datuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi MPOB agak mengejutkan. Adakah itu keputusan yang dibuat Datuk sendiri atau atas tekanan pihak tertentu?

Iklan

AHMAD JAZLAN: Sejujurnya saya ingin maklumkan tiada sebarang paksaan atau permintaan daripada mana-mana pihak mahupun parti saya sendiri. Ini keputusan yang saya buat sendiri. Saya tidak bagi tahu pada rakan-rakan politik, apatah lagi presiden parti dan badan perhubungan parti.

Bagaimanapun saya ambil tanggungjawab. Saya Ketua UMNO Kelantan. Apabila majoriti lebih dua daripada tiga bahagian di Kelantan, bermesyuarat dan menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), apa makna menolak Bersatu? Maknanya menolak kerajaan yang ada pada hari ini kerana ketua kerajaan sekarang ini adalah Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

Ahmad Jazlan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi MPOB pada Isnin.

Iklan

Ini jelas. Jadi saya ada dua pilihan. Sama ada saya meletak jawatan yang saya pegang, yang dilantik kerajaan sebagai Pengerusi MPOB atau saya letak jawatan sebagai Pengerusi UMNO Kelantan.

Bagi saya parti lebih penting daripada jawatan. Kalau saya rasa jawatan lebih penting, saya tidak lepaskan jawatan Pengerusi MPOB. Kalau saya pentingkan diri, dua-dua jawatan saya tidak akan lepaskan. Sedikit sebanyak saya ada kedudukan sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi bukan itu yang saya kejarkan. Saya ada di sini kerana parti. Saya bertanding dulu kerana parti bahkan sehelai bendera pun saya tidak guna duit saya. Saya guna duit parti.

Jadi apa yang saya nak menidakkan parti? Tidak boleh. Saya tidak mahu cakap pasal orang lain. Ini berkenaan saya sendiri. Saya ada pendirian saya sendiri. Cuma saya hanya bagi tahu keluarga saya, pada sebelah pagi sebelum saya umum lepaskan jawatan.

Dalam tempoh 10 bulan di MPOB adakah Datuk berpuas hati dengan sumbangan yang telah diberikan?

Alhamdulillah daripada harga sawit yang berada pada kedudukan yang rendah pada ketika itu iaitu sekitar RM2,300 hingga RM2,400 bagi satu tan minyak sawit mentah, saya meninggalkan MPOB dengan harga minyak pada tahap yang tinggi iaitu stabil pada harga RM3,700 hingga RM3,800.

Jadi bagi saya bukanlah saya baik, saya pandai. Mungkin ini rezeki. Saya berkhidmat, saya buat apa yang patut saya buat, saya buat kerja dan saya doakan agar harga sawit terus stabil. Saya sudah buat yang terbaik. Kalau ada orang kata saya sebaliknya, itu terpulang. Pada saya, saya sudah melakukan yang terbaik.

Pas kini seolah-olah berada di tengah-tengah antara Muafakat Nasional (MN) dan PN. Bagaimana hubungan UMNO dan Pas, apatah lagi kubu kuat Pas sudah tentunya di Kelantan?

Kita sebagaimana usul kita, setakat ini kita sedang mengkaji balik kerjasama dengan Pas. Kalau keputusan pucuk pimpinan parti, kita akur tetapi untuk Kelantan, kita masih mengkaji.

Sebabnya apabila kita sudah menolak Bersatu, prinsipnya, kita kena tanya Pas. Dengan Bersatu dia bekerjasama, dengan kita juga bekerjasama. Kita tidak akan menolak Pas. Kita akan mengkaji. Kita akan duduk bersama dan berbincang macam mana keadaan sekarang ini. Bukan istilah saya nak bagi kata dua kepada mereka. Bukan hak kita tetapi hak mereka.

Jadi dalam permuafakatan ini, yang pertama terbentuk adalah antara UMNO dan Pas. Selepas PRU14, terjalin hubungan tidak langsung seolah-olah bukan dirancang dan seterusnya menjadi rasmi selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional.

Maka di situ kita dapat lihat penyatuan sebenar. Kalau nak lihat penyatuan orang Melayu, penyatuan UMNO dan Pas inilah penyatuan Melayu. Dua parti besar orang Melayu, orang Islam dengan tidak berhasrat untuk meminggirkan bangsa dan kaum lain dalam negara ini. Kita tidak pernah memusuhi bangsa lain. Bagi kita, Melayu mesti solid, baru kita kuat. Bagaimanapun kekuatan itu tidak akan mengancam bangsa atau kaum lain bahkan kekuatan kita akan mensejahterakan negara.

Jadi bermula titik tolak awal itu, kita bersama dan kemudian membentuk kerajaan sehinggalah wujudnya pihak ketiga. Saya tidak tahu sejauh mana kebersamaan Pas dengan Bersatu dalam PN ini mendapat persetujuan dua pihak. Pertama ahli Pas. Adakah ahli Pas bersetuju? Yang keduanya adakah pimpinan Pas keseluruhan bersetuju atau ianya hanya keputusan beberapa pihak tertentu sahaja.

Yang penting pada kita apabila kita bersama MN, yang seharusnya didaftarkan tetapi yang didaftarkan hanya PN, maka bagi kita di Kelantan, kita mesti bincang balik adakah mereka sanggup bersama kita.

Jangan cakap memperkukuh-memperkukuh. Apa bentuk memperkukuh? Apa makna memperkukuh? Jangan bila, sebagai contoh kita putus hubungan dengan Bersatu, tempat Bersatu bertanding, Pas tidak akan bertanding tetapi apabila UMNO bertanding melawan Bersatu nanti Pas hanya berdiam diri. Kalau bersama dengan kita, tempat yang Pas bertanding, kita akan sokong dan begitulah sebaliknya. Tetapi nak sokong macam mana kalau sekarang ini Pas berada dalam PN.

Inilah yang menjadi perkara pokok di mana UMNO sendiri dalam konteks di Kelantan, kita ‘bengong’. Apabila kita memutuskan hubungan, kerusi kita sudah tentu akan berlawan dengan Bersatu. Macam mana pendirian Pas? Tak kan Pas akan sokong dua-dua? Mana boleh macam itu. Main dua kolam.

Apa pandangan Datuk di kala negara berdepan dengan masalah Covid-19 tetapi polemik politik negara masih belum selesai?

Sebab itu kita minta pilihan raya. Bagi menstabilkan politik dan kerajaan, kita perlu mendapat majoriti yang agak besar ataupun dua per tiga. Sebab negara kita ditadbir oleh orang politik. Kita bukan sebuah negara yang ditadbir selain pentadbiran politik. Jadi kekukuhan politik akan memberi kestabilan. Urus tadbirnya akan lebih terjamin kestabilannya, pelabur asing ada keyakinan untuk melabur, kita nak buat perubahan dasar tidak akan teragak-agak, masalah dalaman boleh diselesaikan dengan baik sekiranya kita ada pentadbiran yang kukuh.

Dalam kerajan seperti ini, sudah tentu akan menimbulkan keresahan semua pihak. Maka pilihan raya umum (PRU) mesti diadakan segera. Sampai bila nak tangguh? Sekarang ini ekonomi tidak menentu. Kalau tidak kena gaya mungkin pengangguran akan meningkat lebih sejuta. Keadaan ekonomi sudah tentu menjadi parah dan makin buruk. PRU ini untuk rakyat.

Jangan kata UMNO gila kuasa. Tiada istilah UMNO gila kuasa. UMNO parti yang paling besar tetapi hanya memberi kuasa pada parti yang minoriti. Apa yang UMNO gila kuasa? Menteri kanan juga banyak daripada parti yang kecil. Itu antara perkara yang perlu difahami oleh semua. Kerana rakyatlah kita meminta pilihan raya.

Dalam ketika vaksin pun sudah nak sampai, kita boleh buat SOP yang kita rasa boleh melicinkan perjalanan pilihanraya.

Bagaimana Datuk melihat UMNO dalam kerajaan PN kini apatah lagi dengan keputusan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menggugurkan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN. Apakah pendirian Datuk sendiri terutamanya UMNO Kelantan?

Yang penting ahli perlu setia pada parti. Pemimpin datang dan pergi ini perkara biasa. Apa alasan yang diberikan oleh Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), apa alasan yang diberikan oleh Annuar, ini hanya pandangan masing-masing.

Apa yang penting adalah parti. Sebelum ini pun Annuar tidak pernah menjadi Setiausaha Agung BN. Kalau dia pernah jadi pun, tiba-tiba dia digandingkan dengan orang lain, apa masalahnya? Hanya kembali kepada asas. Kalau kita sayang kepada parti, pegang jawatan atau tidak, kita bekerja untuk parti.

Jangan kita tidak pegang jawatan maka panjang lebarlah kita punya huraian untuk menjelaskan bahawa apa yang dilakukan terhadap kita ini tidak sepatutnya atau sebagainya. Ini tidak betul.

Apa yang penting, tidak pegang jawatan sekalipun kita perlu berkhidmat untuk parti dan saya yakin Annuar akan terus mengutamakan parti. Beliau akan terus membantu parti untuk masa akan datang dan saya rasa UMNO Kelantan tidak akan berpecah ekoran perkara yang berlaku ini kerana kita rasa ianya bukan satu perkara yang terlalu besar untuk dibincangkan sehingga menyebabkan sesama sendiri bermasam muka seolah-olah akan wujud satu suasana ketidakharmonian atau kekecohan.

Ahmad Jazlan (kanan) selepas selesainya Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2020 pada Ahad.

Lagipun Annuar bukan dipecat daripada parti cuma digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung BN. Beliau sebelum ini pun pernah digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO. Bagi saya jawatan itu lagi besar. UMNO lagi besar tetapi kenapa tidak jadi isu pada waktu itu. Kalau berlainan pendapat atau pandangan antara Setiausaha Agung BN dengan Pengerusi BN, bagi saya ini tidak patut berlaku.

Setiausaha dengan pengerusi atau presiden, mana boleh bercanggah pendapat. Kena selari. Di peringkat bahagian pun seperti itu. Bagi saya janganlah kita besar-besarkan isu ini. Jawatan datang dan pergi. Pemimpin datang dan pergi.

Apabila pengerusi rasa tidak boleh bekerja dengan setiausaha, dia kena ganti jawatan itu dengan orang lain. Setiausaha ini lantikan. Sebab ketua wajib perlu selari dengan setiausaha. Kalau tidak selari macam mana nak bekerja.

Kalau orang tamatkan kita punya jawatan, kita perlu setia dengan parti. Selagi kita ahli parti, kepada presiden kita hormati. Presiden sekarang ini, Annuar juga yang pilih dahulu. Dia dengan saya dahulu pilih Ahmad Zahid. Habis kenapa tiba-tiba hari ini semua Ahmad Zahid buat tidak betul. Kalau Ahmad Zahid buat tak betul, diam-diam sudah la. Tunggu pemilihan nanti. Kalau kita bising di peringkat dalaman, akan merugikan kita. Sampai masa nak berlawan Ahmad Zahid, lawanlah.

Bagaimana persiapan andai berlakunya PRU dalam tempoh terdekat. Adakah UMNO Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan Pas untuk membincangkan semula permuafakan yang telah terjalin?

Saya di Kelantan hanya orang kecil. Pas yang perlu bagi tahu nak jumpa bila. Kalau Pas bersama dengan kita, pada saya tiada masalah.

Dengan keputusan Datuk meletakan jawatan, khabarnya lebih banyak lagi ahli Parlimen UMNO yang akan meletak jawatan dalam GLC atau agensi kerajaan. Adakah ia benar dan adakah ini permulaan kepada UMNO untuk meninggalkan kerajaan PN?

Saya tidak boleh jamin dan tidak boleh cakap. Pertama perkara ini perlu berani. Tidak tahu mereka berani atau tidak. Sebab saya buat ini saya tidak berpakat. Saya tak tanya orang. Tiada gerakan. Kalau orang lain buat, itu satu kebetulan. Saya bercakap jujur.

Apakah hala tuju Datuk selepas ini apabila melepaskan jawatan dalam MPOB?

Tengok dulu macam mana. Saya tak tahu nak cakap macam mana. Kalau saya rasa nak tarik diri menyokong kerajaan, kalau saya rasa memang tak boleh jalan, saya akan tarik sokongan terhadap kerajaan.

Yang penting saya datang daripada orang biasa. Bukan berpangkat. Saya berkhidmat untuk rakyat. Membela rakyat di kawasan saya khususnya di negeri Kelantan. Kalau saya rasa kerajaan ini tidak berfungsi dengan baik untuk menjadikan suasana yang baik, saya kena buat keputusan.

Jangan kita fikir kita dapat habuan maka kita meminggirkan kepentingan rakyat. Saya bukan macam orang lain. Saya ada pendirian.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Jazlan letak jawatan Pengerusi MPOB