SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan kelak bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia akan berlaku sekiranya perselisihan faham di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) gagal diselesaikan.
"Konflik yang berlaku seolah-olah terlalu sukar untuk dipulihkan.
"Kalau saya bagi peratusan pun, sekitar 10 peratus sahaja yang boleh diusahakan untuk mendekatkan atau cuba mendamaikan kembali UMNO dan Bersatu ini.
"Bagaimanapun, sekarang hingga 31 Januari bolehlah digunakan oleh mana-mana pihak yang sayangkan perpaduan antara UMNO dan Bersatu, perpaduan orang Melayu ini untuk cuba mengusahakan sesuatu supaya kedua-dua parti berkenaan didamaikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dalam satu kenyataan berkata, terdapat tiga usul utama dibangkitkan UMNO bahagian iaitu mempertahankan Muafakat Nasional (MN), memutuskan hubungan dengan Bersatu sehingga PRU15 dan menggesa PRU15 dibuat sebelum berakhir suku pertama tahun ini.
Kamarul Zaman berkata, sekiranya berlakunya pertembungan tiga penjuru, pihak ketiga iaitu PH akan memperoleh kemenangan.
Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir berpendapat, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, Bersatu akan terhimpit kerana UMNO dan PH mempunyai penyokong masing-masing.
"Saya fikir tidak timbul siapa akan dapat manfaat yang lebih besar kerana akhirnya ialah bagaimana mereka mencorakkan pola undian melalui wacana naratif politik masing-masing untuk menggerakkan dan memperoleh sentimen rakyat menjelang PRU15,” katanya.
Menurut Jeniri, Pas pula seharusnya mengambil keputusan bijak dengan mempertimbangkan siapa yang akan memberi keuntungan kepada mereka untuk menguasai lebih banyak kerusi ekoran perselisihan faham di antara UMNO dan Bersatu,"Pas seharusnya mengukuhkan kedudukan dalam MN kerana saya beranggapan masa depan Bersatu agak malap.
"Sama keadaan yang akan dihadapi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), bakal menjadi parti nyamuk banyak kerusinya akan hilang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Perikatan Nasional diramal tumbang
Jangan heret DAP dalam masalah UMNO: Guan Eng
Apa sebenarnya UMNO inginkan, soal Hishammuddin