PENYOKONG bola sepak di negara ini tidak seharusnya menyalahkan bekas pemain Pahang, Mohamadou Sumareh yang mahu kembali bermain dalam Liga Malaysia (Liga-M) walaupun isu dengan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) belum selesai.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, sesetengah penyokong tidak boleh terus menjatuhkan hukuman ke atas Sumareh, sebaliknya membiarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan mengenai kes tersebut.
"Kita sebagai penyokong bola sepak tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku dan kes Sumareh itu masih berada di peringkat FIFA. Jadi janganlah kita terus menghentam Sumareh.
"Banyak perkara yang masih samar dalam hal ini termasuk fakta sebenar kesalahan yang dilakukan Sumareh, baik di pihak PBNP, FAM atau FIFA. Biarkan proses menentukan sama ada Sumareh bersalah atau tidak.
"Tugas kita sebagai penyokong adalah memberikan sokongan dan mendoakan agar kes itu cepat selesai. Lagipun, FAM juga telah keluarkan kenyataan bahawa Sumareh tiada masalah untuk beraksi dalam saingan Liga-M,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Terdahulu, Sumareh terbabit dalam kontroversi dengan PBNP selepas mendakwa bekas majikannya itu tidak membayar gajinya selama beberapa bulan sehingga memaksa dia mengguna pakai klausa 8.7 yang terkandung dalam kontraknya.
Sumareh kemudian bertindak menyertai Police Tero FC pada 7 September lalu, namun dia hanya membuat empat penampilan bersama kelab Thailand itu sebelum mengumumkan akan kembali ke Liga-M musim depan.
Tindakan pemain kelahiran Gambia itu mengundang kemarahahan segelintir penyokong yang beranggapan seharusnya Sumareh tidak dibenarkan beraksi di Malaysia sehingga kesnya selesai.
Pada masa sama, FAM melalui Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam dalam laporan Sinar Harian pada Khamis mengesahkan Sumareh boleh beraksi dalam saingan Liga-M musim depan walaupun kesnya dengan PBNP masih ‘tergantung’ di peringkat FIFA.
Mengulas lanjut, Jamal Nasir berharap siasatan kes itu dapat selesai dalam usaha memastikan kontroversi terhadap Sumareh yang juga pemain naturalisasi Harimau Malaya tidak berpanjangan.
"Kita tidak mahu karier Sumareh merudum dengan isu sebegini kerana dia juga merupakan watak penting dalam skuad Harimau Malaya untuk menghadapi saingan peringkat antarabangsa tahun ini,” jelasnya.