Jangan beri muka kepada pemuja komunisme

Iklan
Restoran yang mempamerkan wajah pemimpin komunis di Pulau Pinang telah diambil tindakan oleh polis.

SEBANYAK empat buah kedai makan diserbu polis sepanjang minggu ini kerana mempamerkan gambar Mao Zedong sebagai dekorasi.

Kes pertama dilaporkan berlaku di Pulau Pinang melibatkan dua buah restoran di Georgetown di bawah nama pemilik yang sama, manakala kes kedua dan ketiga dilaporkan berlaku di Johor Bahru, Johor dan Jonker Walk, Melaka.

Iklan
Iklan

Susulan itu, polis di ketiga-ketiga negeri telah mengambil tindakan segera dengan menurunkan kesemua gambar berunsurkan pemujaan kepada komunisme itu.

Tidak diketahui apakah motif sebenar pemilik premis menaikkan gambar-gambar tersebut, namun ia jelas menunjukkan mereka sangat mengagumi pemimpin dari China itu.

Iklan

Jika tidak, masakan pemilik-pemilik premis tersebut menggantung gambarnya, walhal banyak lagi gambar orang ternama yang boleh dipamerkan. Walaupun ada segelintir yang berpendapat ia sekadar seni (pop art) bagi mencipta kelainan pada premis perniagaan, namun harus diingat Mao Zedong ialah pemimpin parti komunis yang memerintah China dari 1949 hingga 1976.

Beliau tidak berdiri sendiri sebagai figura politik sahaja, sebaliknya datang dengan ideologi komunis Marxist-Leninist yang dikembangkannya menjadi Maoisme.

Iklan

Ideologi yang mencakupi strategi ketenteraan dan polisi politik itu pernah menyebabkan rakyat Tanah Melayu menderita susulan penyebarannya menerusi Parti Komunis Malaya (PKM) yang mengganas dari 1948 hingga 1960.

Malah, PKM yang mengagungkan Mao Zedong dan Revolusi Kebudayaan dicetuskan itu turut menyebabkan seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban, manakala 2,500 orang cedera dan mengalami kecacatan anggota.

Dalam kalangan orang awam pula, seramai 2,473 terbunuh, 1,385 orang cedera dan 810 orang ditawan kumpulan pengganas tersebut.Walaupun Mao Zedong mati pada tahun 1976, namun Maoisme dan Revolusi Kebudayaan yang dibawanya itu tidak pernah mati dan masih dipromosikan oleh individu tertentu.

Tidak mustahil, wujud gerakan subversif yang cuba menghidupkan dan menyuburkan kembali ideologi tersebut secara lunak bermula dengan mempromosikannya sebagai pop art.