SELEPAS gagal kali pertama, percubaan kali kedua Putra Darwish Fikri Zabudin ternyata telah membuahkan hasil apabila dia terpilih menyertai Akademi Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagi anak kelahiran Kulim, Kedah berusia 13 tahun itu, dia sudah bersedia ‘berguru’ di Akademi Bola Sepak JDT dengan barisan kejurulatihan terbaik bagi mencapai impiannya menyarung jersi skuad kebangsaan suatu hari nanti.
"Syukur alhamdulillah akhirnya saya berjaya menempatkan diri di Akademi JDT. Ini peluang terbaik saya untuk mengembangkan bakat dalam sukan bola sepak, saya cukup gembira apabila mendapat tawaran ini.
"Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, guru-guru yang banyak membantu mengasah bakat saya selama ini. Tanpa bantuan dan sokongan mereka, saya tidak mampu berada pada tahap ini.
"Insya-ALLAH saya akan cuba sedaya upaya membalas segala penat lelah dan ilmu yang dicurahkan mereka. Saya berharap dapat membanggakan mereka suatu hari nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ibu kepada Putra Darwish, Mazura Ismail pula memanjatkan rasa syukur selepas anaknya itu terpilih menyertai Akademi Bola Sepak JDT yang dianggapnya platform terbaik untuk mengembangkan bakat.
"Saya lihat minat Putra Darwish terhadap bola sepak sejak umur enam tahun lagi. Kemudiannya saya bawa dia berlatih di Kedah Kenari Kid Hicom-Honda sebelum menyertai Akademi Tunas Seberang Perai Utara sehingga tahun lalu.
"Alhamdulillah apa yang saya lihat, Putra Darwish menunjukkan peningkatan dalam permainannya sejak mengikuti latihan di Kedah Kenari Kid dan Akademi Tunas Seberang Perai Utara.
"Saya harap dia dapat menyesuaikan diri dengan tempat baharu di Akademi JDT nanti. Perjalanan Putra Darwish masih jauh, jadi dia kena rebut peluang di depan mata,” ujarnya.