BUKIT MERTAJAM - Satu perlawanan amal antara pasukan Bukit Mertajam Veteran (BMV) FC dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di Stadium AEI Permatang Rawa di sini diadakan pada Rabu bagi mengutip dana untuk membantu seorang bekas pemain bola sepak yang kini hilang punca pendapatan utama susulan anaknya tidak lagi mampu bekerja akibat insiden terjatuh di bilik air, tiga tahun lalu.
Mohd Yusof Osman, 55, yang merupakan bekas pemain BMV berkata, sebelum ini anaknya, Mohd Kamal Mohd Yusof, 28, menjadi tonggak untuk menyara keluarga namun kini tidak lagi selepas insiden malang itu.
Selepas tergelincir di bilik air tiga tahun lalu, Mohd Kamal yang dulunya seorang anak yang ceria tidak lagi dapat melakukan sebarang kerja selepas tulang belakangnya hancur bahkan kini hanya berjalan dengan bantuan tongkat serta tidak berupaya untuk berdiri bagi tempoh yang lama.
"Keluarga kami diduga selepas saya dan isteri menghadapi masalah kesihatan yang turut menyukarkan pergerakan kami termasuk masalah slip disc (tulang rawan tergelincir) serta batu karang.
"Sejak itu kami bergantung harap pada Mohd Kamal yang bekerja di sebuah pasar raya namun kerana kejadian tergelincir di dalam tandas menyebabkan kami semua hilang punca pendapatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan amal antara pasukan Bukit Mertajam Veteran (BMV) FC dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di Stadium AEI Permatang Rawa di sini pada Rabu.
Perlawanan amal itu diadakan bagi mengumpul dana untuk membantu keluarga Mohd Yusof yang turut disertai oleh penolong jurulatih skuad bola sepak Pulau Pinang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid; bekas pemain tengah Pulau Pinang, Azidan Sarudin; pelakon, Roy Azman dan pelawak, Mamak Puteh.
Tambah Mohd Yusof, selepas menjalani dua pembedahan, anak sulung daripada dua beradik itu berdepan beberapa masalah kesihatan lain termasuk kesukaran membuang air kecil menyebabkan doktor membuat saluran khas untuknya.
Menurutnya, pada masa ini bagi meneruskan kehidupan dia dan isteri berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan harian selain perlu membeli ubat-ubatan untuk mereka sekeluarga.
Ujar lelaki itu, selain terharu dengan program amal yang diadakan, dia kerana masih dikelilingi oleh ramai rakan yang prihatin dengan nasib keluarganya termasuk sudi membantu meringankan beban yang ditanggung ketika ini.
"Alhamdulillah, sumbangan ini sangat membantu dan saya terharu dengan keikhlasan mereka untuk membantu kami sekeluarga," katanya.
Sementara itu, syarikat pengeluar produk kosmetik, Secret Desire Skincare Sdn Bhd yang turut terlibat dengan penganjuran perlawanan amal itu memberikan sumbangan kepada Mohd Yusof bagi meringankan beban mereka.
Pengasasnya, Rozita Baharom berkata, mereka terpanggil untuk turut serta dalam projek amal itu selepas mendengar kesusahan yang dialami oleh keluarga Mohd Yusof selama ini.
"Kami cuba membantu apa yang termampu terutama dari segi perbelanjaan harian serta ubat-ubatan. Saya harap keluarga Mohd Yusof akan diberi kesihatan yang baik bagi membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan seperti orang lain," katanya.
a