Fareha hadiahkan 10 kereta untuk stokis terbaik

Iklan
Stokis, pegawai pemasaran dan pasukan Fareha diraikan dalam satu majlis yang diadakan pada Ahad.

PENGELUAR jenama tudung bawal terkemuka, Fareha by Cikfa, Fareha Holding Sdn Bhd (Fareha) menghadiahkan 10 kereta Perodua Axia kepada 10 stokisnya sebagai penghargaan terhadap kejayaan mereka mencatatkan jualan memberangsangkan pada tahun 2020.

Pengasasnya, Nurul Fareha Anuar, 32, berkata, kesemua stokis terbabit berjaya mencatatkan jualan tujuh angka dan telah mencapai sasaran yang ditetapkan oleh syarikat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, meskipun negara berdepan dengan pandemik Covid-19 dan banyak sektor perniagaan terkesan oleh wabak itu namun kesemua stokis berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Saya telah meletakkan sasaran jualan yang sangat tinggi kepada mereka sebenarnya tetapi siapa sangka mereka berjaya mencapai jualan tersebut dengan nilai di luar jangkaan.

Iklan

"Ada dalam kalangan stokis tersebut berjaya membuat jualan sehingga tujuh angka. Saya bangga dengan pencapaian mereka dan berharap mereka akan meneruskan usaha untuk mengukuhkan jualan mereka pada tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan stokis Fareha by Cikfa yang dihadiri 100 tetamu terdiri daripada stokis, pegawai pemasaran dan pasukan Fareha di Sungai Buloh pada Ahad.

Iklan
Nurul Fareha (kanan) bersama Nurul Atikah yang mencatatkan jualan sebagai stokis Fariha by Cikfa tertinggi pada tahun 2020.

Nurul Fareha berkata, selain pemberian 10 kereta Perodua Axia, Fareha turut menghadiahkan emas kepada dua stokis yang berjaya mencatatkan jualan tertinggi.

"Kami mengajak wanita atau lelaki yang mahu bersama-sama kami menjana pendapatan. Setiap individu berpeluang menjadi usahawan Fareha by Cikfa bermula sebagai dropship tanpa modal dan akan dibimbing oleh pegawai pemasaran, stokis dan leader masing-masing. Fareha komited dan sentiasa menyediakan bahan-bahan pemasaran untuk membantu mereka,” katanya.

Sasaran

Menurut Nurul Fareha, kejayaan yang dicatatkan oleh 12 stokis mendorongnya untuk menyasarkan jualan RM100 juta pada tahun ini berbanding RM60 juta pada tahun 2020.

"Kami menyasarkan untuk mengeluarkan 30 juta helai tudung Fareha by Cikfa yang terkenal dengan bawal anti kedut berbanding hanya 15 juta helai pada tahun 2020.

"Pada tahun lalu kami mencatatkan jualan berjumlah RM60 juta sahaja berikutan stok tidak mencukupi meskipun menambahkan kilang jahit dan kain,” katanya.

Nurul Fareha berkata, beliau yakin dengan kemampuan 12 stokis dan 15,000 ejen sedia ada untuk membantu meningkatkan jualan, sekali gus mencapai sasaran Fareha by Cikfa.

"Kami juga akan memperbanyakkan papan iklan dan konsisten mempromosikan tudung Fareha by Cikfa di media elektronik sebagai strategi untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, beliau menyasarkan setiap stokis akan merekodkan jualan sekurang-kurangnya RM8 juta iaitu 3 juta helai tudung dan mereka yang berjaya akan mendapat hadiah kereta.

Kereta Perodua Axia dihadiahkan kepada 10 stokis Fareha by Cikfa yang berjaya mencatatkan jualan tertinggi pada tahun 2020.

"Saya yakin mereka dapat mencapai sasaran ini kerana mereka telah berjaya mencatatkan jualan RM1.4 juta hingga RM2.2 juta sebulan.

"Malah, ada koleksi Fareha by Cikfa yang menggunakan pelakon terkenal Uqasha Senrose telah mencatatkan jualan 2 juta helai dalam masa seminggu,” katanya.

Beliau berkata, Fareha mengeluarkan sejuta setiap corak Chanella 2.0 diikuti Chanella 3.0 dan semua habis terjual.

"Fareha juga mengeluarkan 20 rekaan sebulan melibatkan ratusan ribu helai bagi setiap rekaan,” katanya.

Tambahnya, syarikat yang mula beroperasi pada tahun 2016 itu akan memfokuskan platform jualan atas talian (online) sahaja dan tidak berhasrat untuk memiliki butik dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, kami mempunyai dua kilang di Teluk Panglima Garang, Selangor untuk pengeluaran dan pembungkusan serta 10 kilang jahit,” katanya.

Kualiti

Menurut Nurul Fareha, untuk memastikan tudung keluarannya berkualiti, beliau dan suaminya, Mohd Yusri Mohd Yusoff, 34, akan memantau setiap pengeluaran tudung.

"Kami akan mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan sesuatu rekaan tudung di pasaran kerana kami sangat teliti dari segi rekaan, warna, jahitan dan sebagainya. Kami menggunakan kain chiffon dan cotton berkualiti yang diimport dari Korea,” katanya.

Nurul Fareha berkata, suaminya adalah tulang belakang sepanjang beliau menceburi bidang perniagaan dan selain memberikan idea serta menyelesaikan setiap masalah, segala strategi pemasaran turut diatur untuk jenama Fareha by Cikfa.

Beliau berkata, buat masa ini, Fareha akan mengeluarkan tudung jenis bawal sahaja kerana mempunyai permintaan tinggi.

"Kami mendapat maklum balas daripada pelanggan yang mahukan tudung bawal dikekalkan. Kami membuat kajian dan mendapati pembeli meminati bawal sebanyak 70 peratus dan selebihnya adalah selendang,” katanya.

Buat masa ini, Nurul Fareha berkata, syarikatnya tidak berhasrat untuk menambah stokis dan ejen.

"Kami mahu memfokuskan untuk menggilap mereka yang sedia ada menjadi jutawan,” katanya.