Suami boleh berpoligami walau isteri tak setuju

Iklan
Musa

SHAH ALAM - Walaupun tanpa persetujuan isteri, suami boleh berpoligami kerana ia dibenarkan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di setiap negeri di Malaysia kecuali di Perlis.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, menerusi Seksyen 23(6) di bawah enakmen itu tidak disebutkan bahawa suami perlu mendapat persetujuan isteri untuk berpoligami, sebaliknya hanya perlu mendapatkan pandangan isteri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pandangan isteri itu bermaksud si isteri mengetahui suaminya hendak berpoligami dan pandangan itu perlu terlebih dahulu diperolehi sebelum mahkamah bertanyakan kepada isteri mengenai perkara tersebut.

"Dalam undang-undang, bila disebut pandangan, maknanya bukan bermaksud persetujuan, sebab persetujuan memerlukan mahkamah tanya isteri sama ada setuju atau tidak untuk suami berpoligami.

Iklan

"Kalau isteri kata tak setuju sekalipun, ketidaksetujuan isteri itu tidak mengikat hakim untuk membuat keputusan (untuk meluluskan permohonan poligami). Maksudnya hakim boleh pertimbangkan juga walaupun isteri tidak setuju," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi ke-223 bertajuk 'Sindiket poligami: Scam yang dah lama berleluasa?' yang bersiaran secara langsung dari Kumpulan Karangkraf di sini pada malam Khamis.

Iklan

Selain beliau, wacana tersebut turut menampikan panelis Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualitu (Wafiq), Profesor Madya Dr Rafidah Hanim; aktivis masyarakat, Mona Din dan personaliti televisyen, Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, Musa menjelaskan, mahkamah boleh membuat pertimbangan dengan syarat suami boleh membuktikan empat perkara.

Perkara itu iaitu sama ada perkahwinan itu patut atau perlu, kemampuan suami untuk menanggung isteri dan anak-anak, kemampuan suami untuk berlaku adil dan sama ada perkahwinan yang dicadangkan boleh menyebabkan mudarat kepada isteri dan anak-anak yang sudah ada.

Musa (dua dari kiri) bergandingan bersama Dr Rafidah dan Mona (kanan) pada Wacana Sinar Edisi ke-223 bertajuk 'Sindiket poligami: Scam yang dah lama berleluasa?' dikendalikan Ismail sebagai moderator yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.

"Jadi empat perkara itu yang mahkamah akan tengok dan pertimbangkan. Bila buat permohonan poligami, suami kena nyatakan dalam bentuk ikrar di hadapan pendaftar mahkamah dari segi empat perkara tersebut.

"Tapi apa yang berlaku dalam sesetengah keadaan, disebabkan kehendak mengatasi undang-undang, orang akan cari jalan supaya boleh berkahwin dengan cara scam yang memanipulasi undang-undang," katanya.

Menurut beliau, penipuan poligami yang berlaku di negara ini boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pertama, orang yang berkahwin di luar negara atau sempadan seperti selatan Thailand dan Indonesia yang jelas menyalahi undang-undang.

Kedua, katanya, nikah melalui sindiket tanpa melalui proses undang-undang seperti tidak mendapat kebenaran pendaftar mahkamah untuk berpoligami walaupun perkahwinan itu mungkin sah dari segi syarak tetapi tiada dokumentasi atau dokumentasi dipalsukan.

Tambahnya, ketiga adalah mengelak atau lari dari proses mahkamah yang ditetapkan.

"Jadi apa yang berlaku baru-baru ini mengenai pendedahan scam poligami yang jadi perbincangan hangat, kalau saya perhatikan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Perlis mungkin agak berbeza dengan negeri-negeri lain.

"Sebab kalau dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri lain di bawah Seksyen 23(6) disebutkan bahawa permohonan suami untuk poligami perlu diserahkan kepada isteri yang sedia ada dan tidak disebut perlu dapatkan persetujuan isteri," katanya.

Beliau berkata, situasi itu tidak seperti adegan dalam filem yang menunjukkan suami perlu mengambil tandatangan isteri untuk mendapatkan kebenaran berpoligami.