WASHINGTON - Seorang lagi anggota Kabinet Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meletak jawatan pada Khamis sebagai membantah kejadian para penyokong Trump menyerbu bangunan Capitol di Washington yang berlaku Rabu lalu.
Setiausaha Pendidikan, Betty Devos berkata, kejadian rusuhan tersebut yang menyebabkan empat kematian itu tidak wajar dilakukan di sebuah negara seperti AS.
"Kelakuan tersebut (rusuhan di bangunan Capitol) tidak wajar untuk negara kita. Kanak-kanak yang mudah dipengaruhi menyaksikan semua ini (rusuhan tersebut) dan mereka mempelajari daripada kita," katanya.
Sebelum ini, Setiauasaha Pengangkutan, Elaine Chao yang berkahwin dengan Ketua Majoriti Dewan Senat, Mitch McConnell turut mengumumkan peletakkan jawatannya.
Menurutnya, peletakan jawatannya akan berkuat kuasa pada Isnin ini dan beliau merupakan anggota Kabinet pertama Trump yang berbuat demikian ekoran insiden tersebut.
Bekas Ketua Kakitangan Rumah Putih, Mick Mulvaney juga mengumumkan pada 6 Januari lalu tentang peletakan jawatannya sebagai Utusan AS ke Ireland Utara berikutan kejadian rusuhan itu.
Timbalan Penasihat Kebangsaan, Matt Pottinger turut meletakkan jawatan beberapa jam selepas para penyokong Trump melanggar kawalan keselamatan di bangunan Capitol AS.
Sebelum ini, Stephanie Grisham turut meletakkan jawatan sebagai Ketua Staf isteri Trump iaitu Melania berkuat kuasa segera pada Rabu lalu ekoran kejadian rusuhan itu. - Agensi
ARTIKEL BERKAITAN: Detik-detik rusuhan di bangunan Capitol AS
Rusuhan Capitol, Setiausaha Pengangkutan AS letak jawatan
Trump hulur perdamaian selepas rusuhan di bangunan Capitol